Tuesday, May 19, 2015

DASAR-DASAR KPM



RINGKASAN DASAR-DASAR KEMENTERIAN PENDIDIKAN MALAYSIA

1.      PELAN PEMBANGUNAN PENDIDIKAN MALAYSIA (PPPM)

Sistem pendidikan negara dapat diperkasa dan dibangunkan secara berterusan menerusi Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013-2025 yang dirangka berasaskan tiga objektif khusus supaya Malaysia mampu berdaya saing pada peringkat global. Menurut PPPM 2013-2025 yang dilancarkan Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Pendidikan Tan Sri Muhyiddin Yassin di sini hari ini, tiga objektif itu ialah:
·         Memahami prestasi dan cabaran semasa sistem pendidikan Malaysia berfokuskan penambahbaikan akses kepada pendidikan, peningkatan standard (kualiti), merapatkan jurang pencapaian (ekuiti), menggalakkan perpaduan dalam kalangan murid serta memaksimumkan keberkesanan sistem.
·         Mewujudkan visi dan aspirasi yang jelas untuk sistem pendidikan dan murid bagi 13 tahun yang seterusnya sehingga 2025.
·         Menggariskan program transformasi yang menyeluruh untuk sistem pendidikan termasuk perubahan utama dalam kementerian yang membolehkan sistem ini memenuhi permintaan baharu dan jangkaan yang meningkat serta menyokong transformasi awam.
"Pendekatan yang diambil dalam menghasilkan pelan ini adalah suatu langkah berani dan julung-julung kali dilakukan. Pandangan pelbagai pakar dan agensi antarabangsa dikumpulkan untuk menilai dan mentaksir prestasi sistem pendidikan Malaysia termasuk agensi luar seperti Bank Dunia, Unesco dan Pertubuhan Kerjasama dan Pembangunan Ekonomi (OECD)," menurut pelan pembangunan pendidikan itu.
PPPM juga merangkumi pelan tindakan dan inisiatif utama transformasi keseluruhan sistem pendidikan dan terdapat tiga fasa iaitu:
1.      Fasa Satu - melibatkan kajian semula dan diagnostik menyeluruh tentang sistem pendidikan. Fasa ini bermula dengan penilaian terperinci prestasi sistem pendidikan Malaysia, memberi tumpuan kepada keberhasilan murid, mentaksir punca sebenar dan penggerak utama pencapaian tahap prestasi masa kini di samping mengenal pasti kecemerlangan yang terdapat dalam sistem pendidikan sebagai model untuk diikuti dan dicontohi.
2.      Fasa Dua - memberikan tumpuan kepada penyediaan Laporan Awal PPPM dengan menggunakan dapatan dalam Fasa Satu untuk mengenal pasti bidang keutamaan dan memperinci program transformasi yang tuntas tentang dasar dan inisiatif yang akan dilaksanakan bagi tempoh pelan 13 tahun itu. Fasa ini merangkumi maklum balas yang dijana daripada Dialog Nasional Pendidikan Negara dan Makmal Pendidikan GTP 2.0.
3.      Fasa Tiga ditumpukan kepada penyediaan laporan akhir PPPM. Fasa ini melibatkan rundingan dan penglibatan guru, ibu bapa, murid dan pihak berkepentingan yang lain bagi mendapatkan maklum balas tentang Laporan Awal PPPM. Maklum balas berkenaan telah dipertimbangkan dalam penyediaan laporan akhir.

PPPM 2013-2025 itu juga mengkaji pengalaman sistem pendidikan negara lain yang menunjukkan peningkatan signifikan, meluas dan berupaya mengekalkan peningkatan dalam keberhasilan murid. Ia bertujuan menyediakan metodologi yang mantap untuk memahami dan membandingkan standard dan prestasi sistem pendidikan Malaysia dengan negara lain.

"Sebagai sebahagian daripada proses, kementerian telah mengkaji data antarabangsa, menganalisis dan menanda aras pendekatan daripada sumber antarabangsa yang terkemuka seperti Program Penilaian Pelajar Antarabangsa (PISA) dan Kajian Trend Pendidikan Matematik dan Sains Antarabangsa (TIMSS)," menurut laporan pelan itu. Menurut PPPM 2013-2025 itu, kejayaan masa depan negara bergantung kepada perkembangan sosiobudaya yang sihat dan pembangunan ekonomi yang mampan iaitu kedua-dua faktor ini bergantung kepada keupayaan menambah baik keberhasilan sistem pendidikan negara dengan cepat dan berkesan.






2.      MEMARTBATKAN BAHASA MALAYSIA & MEMPERKUKUHKAN BAHASA INGGERIS.

            Dasar MBMMBI ialah dasar Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) untuk memastikan penggunaan bahasa Malaysia sebagai bahasa pengantar di semua sekolah kebangsaan dan sekolah menengah serta memastikan murid boleh menguasai bahasa Malaysia dan bahasa Inggeris dengan fasih dan betul. Dasar MBMMBI juga menetapkan penggunaan bahasa Malaysia sebagai bahasa pdp sains dan matematik di sekolah kebangsaan dan sekolah menengah, bahasa Cina di sekolah jenis kebangsaan Cina dan bahasa Tamil di sekolah  jenis kebangsaan Tamil.
Dasar MBMMBI dilaksanakan di sekolah melalui pendekatan mengembalikan peranan  bahasa Malaysia sebagai bahasa pdp sains dan matematik, meningkatkan penguasaan bahasa Malaysia dan bahasa Inggeris melalui pelaksanaan tambahan waktu pdp,  transformasi kurikulum, peningkatan kapasiti guru dan sumber manusia, penyediaan bahan dan peralatan  serta mengintegrasi Teknologi Maklumat dan Komunikasi (TMK) dalam pdp.
Dasar MBMMBI dilaksanakan secara berperingkat-peringkat (soft landing) mulai tahun 2010. Dalam proses peralihan ini, pdp sains dan matematik boleh menggunakan bahasa Inggeris dan/atau bahasa Malaysia di sekolah kebangsaan dan sekolah menengah, bahasa Inggeris dan/atau bahasa Cina di sekolah jenis kebangsaan cina, bahasa Inggeris dan/atau bahasa Tamil di sekolah jenis kebangsaan Tamil. Ini bertujuan membantu guru dan murid menyesuaikan diri dengan perubahan dasar berkenaan. Soft landing membolehkan murid sekolah rendah dan sekolah menengah yang telah mengikuti pdp sains dan matematik dalam BI pada atau sebelum tahun 2010 meneruskan penggunaan BI sehingga tamat Tingkatan Lima berdasarkan kesediaan guru dan murid di sekolah. Dengan pendekatan soft landing ini, pdp matematik dan sains di sekolah rendah akan dilaksanakan dalam bahasa Malaysia sepenuhnya pada tahun 2016. Manakala di sekolah menengah, penggunaan bahasa Malaysia sepenuhnya bagi kedua-dua mata pelajaran ini adalah pada tahun 2021.




KPM telah merancang dan melaksanakan pelbagai program di bawah dasar MBMMBI untuk melatih guru Bahasa Inggeris dalam perkhidmatan untuk meningkatkan profesionalisme guru dan juga melengkapkan guru dengan kemahiran selaras dengan pembangunan pendidikan nasional. ELTC telah dipertanggungjawabkan untuk melaksanakan program serta kursus berikut:


  1. Training of Trainers for English Language Lecturers in Institutes of Teacher Education (ELITE-ToT) untuk Pensyarah IPG
  2. Certificate in the Practice of English Language Teaching (C-PELT) untuk guru bukan opsyen bahasa Inggeris
  3. Reinforcing English Language Teaching for Non-Option English Language Teachers (RELTNOTe) untuk guru bukan opsyen bahasa Inggeris yang tidak mengikuti C-PELT
  4. Oral Proficiency in English for Secondary Schools (OPS-ENGLISH) untuk meningkatkan kemahiran bertutur dan berkomunikasi dalam kalangan pelajar Tingkatan 1 di sekolah-sekolah Band 3 – 5











3.      SATU  MURID SATU SUKAN

            Dasar 1Murid 1Sukan (1M 1S) mewajibkan setiap murid menyertai sekurang-kurangnya satu aktiviti sukan di sekolah. Dasar ini menyokong pelaksanaan Falsafah Pendidikan Kebangsaan yang berhasrat untuk melahirkan modal insan yang seimbang dari segi intelek, rohani, emosi dan jasmani. Justeru dengan dasar ini, setiap murid akan melibatkan diri secara aktif dengna menyertai aktiviti sukan sepanjang tahun. Dasar ini juga adalah selaras dengan Dasar Sukan Negara untuk membudayakan sukan dalam kalangan masyarakat dan hendaklah dimulakan di peringkat sekolah melalui dua strategi iaitu Sukan Untuk Semua dan Sukan Untuk Kecemerlangan.
            Aktiviti sukan di bawah Sukan Untuk Semua adalah penting dalam membina kesihatan, sahsiah dan kesejahteraan kesemua murid. Bagi Sukan Untuk Kecemerlangan, prestasi murid yang berbakat dan berpotensi dibangunkan di bawah program Kecemerlangan Bakat Muda, Sukan Prestasi Tinggi Sekolah serta sukan lain yang mampu ditawarkan oleh pihak sekolah. Oleh yang demikian, penyertaan setiap murid dalam sukan adalah penting sebagai satu landasan mendokong aspirasi 1Malaysia yang sihat, cergas dinamik dan bersatu padu.

Matlamat
Dasar 1M 1S berhasrat untuk:
  • Membangunkan modal insan melalui penyertaan yang menyeluruh dalam kalangan murid melalui kegiatan sukan sepanjang tahun; dan
  • Memupuk budaya bersukan dalam kalangan murid agar menjadi ahli masyarakat yang mengamalkan gaya hidup sihat dan cergas.
Konsep
Falsafah Pendidikan Kebangsaan (FPK) bermatlamat untuk melahirkan insan yang seimbang dan harmonis dari segi intelek, rohani, emosi dan jasmani (JERI). Ke arah ini, Konsep Dasar 1M 1S adalah diwujudkan untuk menyokong FPK agar dapat:
  • Memberi akses kepada semua murid untuk mendapatkan faedah dari penglibatan dalam sukan khususnya kepada murid yang kurang aktif atau tidak aktif;
  • Membangunkan sukan sekolah ke arah meningkatkan kadar penyertaan murid dalam sukan sekurang-kurangnya satu jenis sukan di sekolah; dan
  • Memberi peluang kepada semua murid yang berbakat dan berpotensi untuk digilap ke tahap yang lebih tinggi.
Objektif Dasar
Dasar 1M 1S berhasrat untuk memenuhi objektif-objektif berikut;
  • Meningkatkan kecergasan jasmani;
  • Membentuk sahsiah, jati diri, disiplin dan nilai murni;
  • Memupuk perpaduan di antar kaum;
  • Membentuk budaya sukan di kalangan murid;
  • Memenuhi naluri semula jadi murid dalam aktiviti fizikal;
  • Memberi keseimbangan antara keperluan akademik dengan keperluan fizikal; dan
  • Mewujudkan landasan ke arah kecemerlangan sukan.
Prinsip Pelaksanaan
Perlaksanaan Dasar 1M 1S hendaklah mengambil kira prinsip-prinsip berikut:
  • Setiap murid termasuk murid berkeperluan khas yang tidak mengalami masalah kesihatan wajib mengambil bahagian dalam sekurang-kurangnya satu jenis sukan;
  • Dasar 1M 1S adalah diwajibkan untuk Tahun 4 hingga Tahun 6 di Sekolah Rendah dan Peralihan, Tingkatan 1 hingga 6 di Sekolah Menengah. Walau bagaimanapun murid Pra Sekolah hingga Tahun 3 digalakkan menyertai program ini berdasarkan kemampuan sekolah;
  • Murid boleh menyertai lebih dari 1 jenis sukan mengikut kemampuan dan sukan yang ditawarkan oleh sekolah atau yang dijalankan dengan pengetahuan serta persetujuan pihak sekolah;
  • Asas kepada Dasar 1M 1S adalah perlaksanaan mata pelajaran Pendidikan Jasmani dan Kesihatan (PJK) yang berkualiti di sekolah. Segala sumber mata pelajaran PJK hendaklah diguna sama bagi pelaksanaan dasar ini;
  • Aspek yang diutamakan adalah penyertaan aktif oleh semua murid dalam aktiviti sukan;
  • Ibu bapa, agensi luar dan rakan sukan adalah digalakkan untuk menyumbang kepada pembangunan sukan sekolah; dan
  • Setiap sekolah yang sudah mempunyai prasarana, kemudahan dan peralatan sukan (PKPS) hendaklah mengoptimumkan penggunaannya bagi meningkatkan lagi penyertaan aktif setiap murid.
  • Bagi sekolah yang kurang PKPS, bolehlah berkongsi dengan sekolah-sekolah yang berdekatan atau memohon PKPS daripada pihak berkuasa tempatan secara percuma atau sedikit bayaran minimum bagi menjayakan dasar ini.
Pendekatan Pelaksanaan
Bagi memenuhi prinsip-prinsip pelaksanaan Dasar 1M 1S, setiap sekolah mesti mempunyai strategi pendekatan dalam melaksanakan program sukan mengikut acuan dan kemampuan sedia ada. Maka, pelaksanaan 1M 1S adalah berdasarkan kepada pendekatan berikut:
-          Aktiviti sukan bermaksud melibatkan diri dan mengambil bahagian secara aktif dalam latihan sukan dan permainan di bawah pengurusan sekolah. Sukan yang ditawarkan di bawah 1M 1S hendaklah berunsurkan aktiviti yang melibatkan pergerakan fizikal.
-          Aktiviti sukan di sekolah diadakan sepanjang tahun berdasarkan kepada aktiviti rumah sukan dan kelab sukan. Kejohanan olahraga sekolah yang didahului oleh kejohanan merentas desa dan sukan tara menjadi aktiviti teras sukan di sekolah.
-          Dasar 1M 1S adalah diwajibkan untuk Tahun 4 hingga Tahun 6 di Sekolah Rendah dan Tingkatan Peralihan, Tingkatan 1 hingga Tingkatan 6 di Sekolah Menengah. Manakala murid Prasekolah hingga Tahun 3, digalakkan menyertai program ini berdasarkan kemampuan sekolah.
-          Bagi Murid berkeperluan khas, aktiviti sukan juga hendaklah dilakukan berdasarkan keupayaan dan kemudahan sedia ada.
-          Pihak sekolah hendaklah mengadakan pertandingan antara tingkatan, kelas, rumah sukan, dorm asrama dan kelab sukan sekolah. Penyertaaan murid dalam kejohanan Majlis Sukan Sekolah Daerah (MSSD) / Majlis Sukan Sekolah Negeri (MSSN), Majlis Sukan Sekolah Malaysia (MSSM) serta peringkat antarabangsa juga merupakan aktiviti 1M 1S.



















4.      NKRA PENDIDIKAN

BIDANG KEBERHASILAN UTAMA NEGARA (NKRA) PENDIDIKAN
Dalam Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) Pendidikan, kerajaan akan member tumpuan kepada 4 sub-NKRA untuk meluaskan akses kepada pendidikan berkualiti dan berkemampuan.










1. Sub-NKRA Prasekolah
7 teras untuk meluaskan akses kepada pendidikan prasekolah yang berkualiti dan berkemampuan:
1.      Penubuhan Jawatankuasa Penyelarasan Prasokolah Kebangsaan dan Bahagian Prasekolah dan PERMATA Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM).
2.      Perlaksanaan Kurikulum Standard Prasekolah Kebangsaan (KSPK)
3.      Menyeragamkan bantuan kepada murid prasekolah kerajaan
4.       Meningkatkan kualiti guru dan pembantu guru
5.      Menambah bilangan kelas prasekolah di kawasan miskin Bandar, luar Bandar dan pedalaman
6.      Meningkatkan Perkongsian Pintar Kerajaan-Swasta dalam pendidikan Prasekolah.
7.       Mewujudkan Sistem Maklumat Prasekolah Kebangsaan
 
2. Sub-NKRA Literasi dan Numerasi
NKRA – Peluasan akses kepada pendidikan berkualiti dan berkemampuan. Setiap kanak-kanak* menguasai kemahiran asas literasi dan numerasi selepas 3 tahun mengikuti pendidikan rendah pada akhir tahun 2012.
Kanak-kanak berkeperluan khas – didefinisikan sebagai murid bermasalah pembelajaran, masalah pendengaran, masalah pertuturan, masalah penglihatan, terencat akal, mempunyai pelbagai kecacatan, dan kurang upaya secara fizikal. Kurikulum khas literasi dan numerasi dibentuk untuk kanak-kanak berkeperluan khas.

3. Sub-NKRA Sekolah Berprestasi Tinggi
3.1 Mengangkat kualiti sekolah-sekolah yang terbaik   
Meningkatkan kualiti pencapaian institusi pendidikan melalui peningkatan tahap autonomi dan akauntabiliti, membenarkan sekolah melaksanakan inovasi dalam pengurusan masing-masing (pemusatan dalam aspek kurikulum dan anggota perkhidmatan)
3.2 Menghasilkan pelajar yang cemerlang
Sebagai tempat untuk melatihkan pelajar cemerlang bertaraf antarabangsa dan yang menjadi personaliti unggul dalam semua bidang
3.3 Merapatkan jurang antara sekolah-sekolah di dalam sistem
Sebagai inspirasi kepada sekolah-sekolah lain untuk membangunkan kecemerlangan tahap yang lebih tinggi melalui bimbingan dan jaringan antara sekolah sekolah tersebut.
 

4. Sub-NKRA Tawaran Baru kepada Pemimpin Sekolah
Meningkatkan kualiti keberhasilan murid menerusi peningkatan prestasi pemimpin sekolah di Malaysia:


















5.      KSSR
Kurikulum  baru sekolah rendah yang dikenali sebagai Kurikulum Standard Sekolah Rendah (KSSR) akan diperkenalkan pada 2011 dengan subjek yang lebih sedikit tetapi menggunakan pendekatan yang lebih interaktif. Kurikulum tersebut bakal menggabungkan beberapa subjek menjadi satu selain turut akan memperkenalkan satu subjek baru yang bertema semangat kenegaraan dan patriotik.
KSSR akan mula diperkenalkan dan diterapkan kepada murid tahun satu kerana kesesuaian murid tersebut yang baru menduduki alam persekolahan atau peringkat awal pendidikan mereka. Penerapan dari peringkat awal akan membantu memudahkan perjalanan serta pembelajaran murid-murid tersebut yang akan melangkah ke tahun-tahun seterusnya sejajar dengan perubahan umur.Ketua Pengarah Pelajaran Malaysia, Tan Sri Alimuddin Mohd Dom berkata, KSSR tidak akan menggantikan tetapi beriringan dengan Kurikulum Bersepadu Sekolah Rendah (KBSR).            Melalui KSSR katanya, pengajaran dan pembelajaran akan menggunakan modul yang akan menggantikan buku teks oleh itu guru-guru sedang disedia dan dilatih untuk KSSR.
Ia diharap dapat meningkatkan penguasaan murid-murid sekolah rendah khususnya dalam bahasa Melayu dan bahasa Inggeris. Pendekatan teknik pengajaran dan pembelajaran (P&P) akan menjadi lebih menarik dan interaktif di mana ia melibatkan penggunaan dua bahasa tersebut serta meningkatkan penguasaannya bagi guru-guru untuk mengajar dalam subjek Matematik dan Sains sejajar dengan matlamat kerajaan. Buat peringkat permulaan, sebanyak 500 buah sekolah telah menjalani uji rintis mulai 31 Mac 2009 sehingga akhir Jun 2009. Sebanyak 50 buah sekolah akan menjalani uji rintis semua mata pelajaran manakala sekolah selebihnya akan menjalani uji rintis dalam mata pelajaran terpilih.
KSSR membahagikan mata pelajaran kepada tiga modul iaitu Modul Asas Teras, Modul Asas Tema dan Modul Asas Elektif. Tahap satu sekolah rendah (tahun 1 hingga 3) akan tertumpu kepada penguasaan 4M (membaca, menulis, mengira dan menaakul) serta kemahiran asas teknologi komunikasi dan maklumat (ICT), perkembangan sosioemosi, kerohanian, fizikal, kognitif, sikap dan nilai.
Sementara tahap dua sekolah rendah (tahun 4 hingga 6) akan tertumpu kepada pengukuhan dan aplikasi 4M, kemahiran asas ICT, perkembangan sosioemosi, kerohanian, fizikal, sikap dan nilai. Selain itu, kementerian juga akan memperkenalkan Kurikulum Standard Prasekolah Kebangsaan (KSPK) bagi murid-murid prasekolah berumur lima dan enam tahun seluruh negara. Pada peringkat ini pula, tumpuan akan diberikan kepada perkembangan sosioemosi, kerohanian, fizikal, kognitif, sahsiah, persediaan ke sekolah rendah serta pendedahan awal mengenai kemahiran 4M. KSPK akan memudahkan lagi murid-murid prasekolah ini untuk menyediakan mereka memasuki alam persekolahan selain pendekatan yang lebih mesra dan menarik digunakan bersesuaian dengan peringkat umur kanak-kanak prasekolah.



DISEDIAKAN OLEH :
THEVALETCHUMY A/P NADARAJAN
SMK MALIM NAWAR


No comments:

Post a Comment