Tuesday, May 19, 2015

KEMAHIRAN MEMBACA



KEMAHIRAN MEMBACA

1.0  PENGENALAN
Kemahiran membaca merupakan proses yang dinamik tetapi kompleks. Kemahiran ini meliputi keupayaan membaca dengan pantas, memahami fakta, kebolehan mengingati fakta serta membuat interpretasi secara bijak dan analitis. Menguasai kebolehan membaca bukanlah satu kerja yang mudah kerana ia hanya dapat dijayakan dengan adanya proses pengajaran dan pembelajaran secara formal. Membaca merupakan percantuman beberapa proses yang kompleks, iaitu proses mengamati, mengingat, mendengar, dan membezakan bunyi-bunyi dengan tepat dan jelas, menyebut lambang-lambang huruf yang mewakili bunyi-bunyi tertentu, menggabungkan bunyi-bunyi untuk membentuk perkataan dan memindahkan lambang-lambang yang dibacanya itu kepada system kognitif untuk diterjemahkan dan difahamkan (smith, 1978).
Deboer dan Dallman berpendapat membaca melibatkan dua faktor, iaitu pemahaman dan interpretasi idea yang dilambangkan melalui penulisan. Gibson pula menegaskan membaca bermakna bertindak balas terhadap simbol-simbol grafik, mentafsir simbol-simbol grafik kepada pertuturan dan mendapatkan makna daripada bahan-bahan bercetak.

2.0  DEFINISI KEMAHIRAN MEMBACA

Membaca bermaksud memindahkan tulisan kepada suara. Selain itu, membaca juga didefinisikan sebagai bukan memindahkan tulisan kepada suara sahaja bahkan menangkap makna dan memahami apa yang dibaca. Seseorang murid yang boleh memindahkan tulisan kepada suara, walau bagaimana lancar sekalipun, jika tidak memahami perkara yang disuarakan maka murid itu tidak dikira sebagai pandai membaca. Oleh itu, dapat disimpulkan bahawa membaca ialah menyuarakan tulisan , mengambil isi dan fikiran yang tertulis dan memahamkan kandungannya.
Membaca juga merupakan satu proses mengubah simbol-simbol grafik iaitu tulisan kepada konsep-konsep intelektual dan proses ini memerlukan daya mental. Membaca adalah terjemahan daripada bentuk tulisan kepada satu bentuk bahasa yang membolehkan pembaca menimbulkan makna daripada bentuk tulisan berkenaan. Membaca melibatkan kebolehan mengenal lambang-lambang dan menterjemah lambang-lambang itu semula kepada bunyi bahasa dan memahami makna atau tanggapan yang disampaikan oleh tulisan itu. Oleh itu, untuk membaca seseorang mestilah mengenal dan menyebut lambang-lambang bertulis dan juga mesti mempunyai satu tanggapan bagi memudahkan fahamannya. Membaca merupakan satu cara untuk memahami pola-pola bahasa daripada bentuknya yang bertulis. Tambahan pula, Membaca melibatkan proses mekanikal iaitu membunyikan huruf-huruf yang dicetak dan menjawab beberapa soalan yang berkaitan dengan tajuk yang dibaca dan melibatkan proses pemikiran yang konstruktif.

Oleh itu, membaca boleh ditakrifkan sebagai satu perlakuan mendapatkan maklumat melalui lambang-lambang bertulis atau bercetak. Aktiviti membaca melibatkan dua proses, iaitu Menterjemahkan lambang bertulis atau bercetak kepada bunyi bahasa dan Mendapatkan maklumat atau makna daripada bunyi-bunyi bahasa yang disuarakan itu. Membaca juga boleh dimaksudkan sebagai menyuarakan tulisan, mengambil isi dan fikiran yang tertulis dan memahamkan kandungannya. Mengajar membaca bererti mengajar murid memindahkan tulisaan kepada suara serta melatih mereka memahami apa yang terkandung dalam bacaan itu.

3.0  KONSEP KEMAHIRAN MEMBACA

Menurut Leferre (1973), membaca merupakan satu proses yang berkait rapat dengan bahasa, iaitu membaca sebagai a language related process. Menurut Cohen (1990), membaca memerlukan kemahiran mentafsir serta pemikiran yang tinggi untuk memahami makna daripada teks yang bercetak. Membaca juga merupakan proses kemahiran yang aktif bagi mengintepretasikan makna dan mendapatkan pengetahuan daripada bahasa tulisan dan visual. Tiga konsep asas membaca yang pernah digunakan ialah:
                      i.            membunyikan perkataan demi perkataan.
                    ii.            pengenalpastian perkataan demi perkataan dan memperoleh maknanya.
                  iii.            memberikan makna kepada teks yang dibaca serta memahami teks tersebut.

Menurut buku The American Heritage Dictionary of The English Language (2003), definisi membaca ialah:
                                  i.            intepretasi terhadap sesuatu situasi atau perkara yang diperkatakan.
                                ii.            proses kognitif untuk memahami bahasa tulisan (melibatkan penghasilan dan pemahaman komunikasi linguistik)
                              iii.            keupayaan untuk menyuarakan bahan bertulis (komunikasi yang melibatkan simbol-simbol tulisan.
                              iv.            gambaran mental tentang makna daripada perkara yang diperkatakan, idea atau visual yang dilihat.

4.0  PROSES MEMBACA

Penyelidik-penyelidik seperti Goodman (1971, 1973) dan Smith (1971, 1975) misalnya, pernah menyatakan pendapat bahawa membaca ialah proses psikolinguistik yang bermula dari detik pembaca itu memerhatikan perkataan pada muka surat hingga detik pembaca itu dapat membentuk makna. Hal ini bermakna sepanjang proses membaca terdapat interaksi antara bahasa dengan pemikiran.
Proses membaca dapat dirumuskan seperti yang berikut :
                                i.            Perlakuan membaca terdiri daripada kemahiran mengenal dan memahami bahan yang dibaca.
                              ii.             Kemudian, perlakuan membaca dapat menghasilkan kefahaman pembaca.
                            iii.            Dalam proses membaca, seseorang itu akan berfikir, mencuba untuk merasai dan akan membayangkan maklumat yang dibaca tadi. Dalam hal ini, aktiviti membaca seolah-olah menjalinkan interaksi antara pembaca dengan penulis, serta tujuan tertentu yang hendak ditonjolkan.
                            iv.             Seterusnya , perlakuan membaca memerlukan kebolehan pembaca mengaitkan dan mengintegrasikan segala aspek yang berkaitan dengan tujuan membaca, jangkaan, pengetahuan dan pengalaman lalu tentang perkara yang dibaca bagi menghasilkan sebuah pembacaan yang berkesan dan menerbitkan pemahaman terhadap bahan yang dibaca.
Proses membaca juga yang bermatlamatkan kefahaman melibatkan proses mental yang kompleks iaitu merangkumi proses-proses seperti yang di bawah;
  1. mengecam perkataan
  2. memilih makna yang sesuai.
  3. menghubungkaitkan idea dengan pengetahuan dan pengalaman yang sedia ada.
  4. menyusun idea.
  5. membuat generalisasi.
  6. membuat penilaian.
Dalam pengajaran bacaan di sekolah, penekanan diberikan kepada bacaan mekanis dan bacaan mentalis. Pada peringkat awal, proses pengajaran dan pembelajaran bacaan mengutamakan bacaan mekanis, iiatu guru akan memberikan contoh sebutan bunyi-bunyi dan bacaan yang betul dengan kuat dan jelas. Proses ini diikuti oleh murid yang akan membunyikan secara kuat sama ada secara beramai-ramai, berkumpulan ataupun secara individu.
Murid-murid akan diajar dengan bacaan mentalis atau akaliah setelah mereka menguasai atau berkemahiran dalam bacaan mekanis. Murid-murid diberi masa untuk membaca sesuatu bahan bacaan yang diberikan sebelum bahan berkenaan dibincangkan atau menjawab soalan-soalan untuk menguji kefahaman murid. Bacaan mentalis ini boleh juga diikuti dengan bacaan kuat. Perkara penting yang perlu diketahui oleh guru ialah bacaan mentalis diutamakan bagi murid-murid di sekolah rendah, sementara bacaan mentalis lebih diutamakan pada peringkat sekolah menengah.


5.0  FAKTOR YANG MEMPENGARUHI KESEDIAAN MEMBACA

  1. Keadaan Fizikal
-          Mata yang sempurna dan penglihatan yang baik.
-          Telinga yang sempurna dan pendengaran yang jelas.
-          Keadaan alat pertuturan yang sempurna.
-          Kemampuan urut saraf dan otot yang sempurna terutama mata dan tangan.
-          Pertumbuhan fizikal dan kesihatan secara yang sempurna.
  1. Pengaruh Pengalaman Dan Persekitaraan
-          Mempunyai pengalaman asas bacaan peringkat awal.
-          Faktor persekitaraan yang memberikan pelbagai motivasi.
  1. Kecerdasan dan perkembangan kognitif
-          Murid-murid dilahirkan dalam keadaan kecerdasan dan perkembangan kognitif yang stabil dan sempurna.
-          Proses perkembangan otak yang normal.
  1. Daya diskriminasi (Pengamatan)
-          Murid mempunyai pengamatan pendengaran dan penglihatan yang baik dan tidak terganggu.
  1. Penguasaan bahasa
-          Murid menguasai bahasa kerana bahasa merupakan alat berfikir dan melahirkan kehendak, rasa dan cita rasa.

 6.0 MASALAH  DALAM BACAAN

  1. BENTUK HURUF
      beberapa huruf kecil yang hampir sama bentuknya. Contohnya huruf ‘s’, ‘c’, dan ‘v’ antara huruf besar dan huruf kecil.
      Huruf yang terbalik.
      Keliru nama-nama huruf yang seakan-akan sama bentuknya.
      Menyebut huruf-huruf mengikut telor bahasa ibunda.
      Keliru menamakan huruf besar dan huruf kecil kerana benuknya berubah.

2.      PERINGKAT SUKU KATA
      Tidak boleh mengadun / membatang suku kata terbuka / tertutup.
      Keliru membunyikan suku kata yang melibatkan e taling dan e pepet.
      Tidak boleh membunyikan dengan betul setelah mengeja / membatang suku kata.
      Tidak boleh membunyikan dengan betul suku kata VK di awal perkataan.
      Salah memecah / membatang suku kata.
      Tidak boleh membatang perkataan yang mengandungi banyak suku kata.
      Keliru membatang perkataan yang mengandungi Diftong / Vokal Berganding.
      Tidak boleh membunyikan perkataan yang mengandungi Diagraf di awal.
      Tidak boleh membatang suku kata yang melibatkan imbuhan

3.      KESUKARAN DALAM PENGAMATAN
      Boleh mengeja tetapi tidak boleh membunyikan.
      Mengeja sebelum membaca.
      Boleh membatang suku kata tetapi gagal menyebut.
      Menggantikan bunyi suku kata dalam perkataan
       Menggugurkan bunyi-bunyi suku kata dalam perkataan.
      Salah menyebut perkataan yang seakan-akan rupanya.
      Keliru ejaan Bahasa Melayu dengan Bahasa Inggeris.
      Salah menyebut / membunyikan perkataan yang seakan-akan sama.
      Menyebut perkataan mengikut loghat.

4.      KESUKARAN MEMBACA PERINGKAT AYAT
      Menggantikan perkataan dengan perkataan lain.
      Kerap tertinggal semasa aktiviti membaca secara beramai-ramai.
      Pembalikan perkataan.
      Terpaksa membaca secara berulang-ulang kali.
      Membaca secara merangkak-rangkak.
      Membaca mengikut loghat masing-masing.
 
6.0  JENIS-JENIS BACAAN

Sebenarnya, terdapat beberapa jenis bacaan yang tidak kita sedari selama ini kerana kita hanya sekadar menbaca tetapi tiada kesedaran untuk mengkaji jenis bacaan yang kita gunakan. Oleh itu, sila lihat rajah di bawah :
1.      Bacaan Mekanis (Bersuara)
Membaca bersuara sering juga menggunakan nama-nama yang berbeza seperti membaca mekanis, membaca oral, membaca ulat dan membaca nyaring. Walau apa pun nama yang digunakan, membaca mekanis ini merupakan satu aktiviti membaca yang disuarakan dengan jelas untuk menangkap dan memahamkan informasi, fikiran dan perasaan seseorang pengarang.  Orang yang membaca harus mempunyai kemampuan untuk memaknakan apa sahaja yang tersirat dalam bahan-bahan yang dibaca. Lazimnya, ia harus memiliki kecepatan mata yang tinggi serta pandangan mata yang jauh. Ia juga harus boleh mengelompokkan kata-kata dengan baik dan cepat agar jelas maknanya bagi para pendengar. Membaca mekanis merupakan satu ketrampilan yang serba rumit dan kompleks yang menuntut pengertian terhadap aksara di atas halaman kertas dan memproduksi suara yang tepat dan bermakna. Dalam pengajaran dan pembelajaran bahasa, membaca mekanis yang digunakan lebih tertumpu kepada usaha menganalisis pengucapan (pronunciation) daripada pemahaman. Membaca mekanis adalah satu teknik yang mampu memenuhi pelbagai ragam tujuan serta mengembangkan sejumlah ketrampilan serta minat.
Untuk membolehkan penguasaan membaca nyaring atau membaca secara mekanis ini, pembaca haruslah dapat terlebih dahulu menguasai keterampilan persepsi yang melibatkan penglihatan dan daya tanggap yang membolehkan kita mengenal, memahami kata-kata dengan cepat dan tepat. Aspek lain yang sama pentingnya adalah kemampuan mengelompokkan kata-kata dalam satu kesatuan fikiran serta membacanya dengan baik dan lancar. Bacaan bersuara ialah bacaan mekanis yang menyuarakan tulisan dengan sebutan yang jelas dan terang, dengan intonasi dan irama mengikut gaya membaca yang betul dengan menggerakan alat-alat pertuturan.

2.      Bacaan Mentalis (Senyap)
Membaca senyap atau membaca dalam hati (silent reading) ialah kegiatan membaca yang melibatkan ingatan visual (visual memory) dan pengaktifan mata dan ingatan. Tujuan utama membaca jenis ini adalah untuk memperoleh informasi dan pemahaman. Dibandingkan dengan membaca nyaring, membaca dalam hati atau membaca senyap adalah lebih ekonomis, dan dapat dilakukan di mana-mana sahaja. Biasanya, membaca dalam hati atau senyap ini melibatkan dua jenis bacaan, iaitu membaca insentif dan membaca ekstensif. Kedua-duanya mempunyai ciri-ciri yang tersendiri. Oleh itu, bacaan senyap atau bacaan akaliah ialah bacaan yang disuarakan dalam hati atau menukar isi bacaan kepada maknanya tanpa mengeluarkan suara. Kelajuan bacaan senyap lebih pantas daripada bacaan bersuara kerana beberapa perkara yang dilakukan dalam bacaan bersuara seperti nada suara, sebutan yang jelas dan sebagainya tidak diperlukan dalam bacaan senyap. Bacaan senyap ini dijalankan sesudah murid-murid mencapai kemahiran dan kecekapan bacaan bersuara.

3.      Bacaan Intensif (Pantas dan Imbasan)
Bacaan intensif ialah kegiatan membaca yang menuntut ketelitian dan dilakukan secara saksama yang melibatkan telaah isi dan pandangan terperinci sesuatu bahan bacaan. Dua perkara yang dilibatkan dengan bacaan insentif ini adalah membaca telaah isi dan membaca telaah bahasa. Dalam telaah isi ini, membaca teliti, membaca pemahaman, membaca kritis dan membaca idea adalah ditekankan. Bacaan intensif adalah bacaan yang pada asasnya bertujuan memperkembangankan kebolehan dalam meneliti, memahami dan mentafsir apa sahaja yang dibaca dengan tepat. Bacaan tersebut juga memberi penekanan kepada kajian terhadap ciri-ciri tatabahasa, meneliti pembentukan dan penggunaan perkataan, serta pemakaian bahasa itu dalam konteks dan situasi yang berlainan. Bacaan intensif boleh juga boleh dibaca dengan pelbagai cara iaitu :-
                                i.            Bacaan pantas
Bacaan pantas adalah satu bentuk kegiatan membaca yang dilakukan dengan kadar kelajuan tertentu dan tujuannya adalah untuk menjimatkan masa. Walau bagaimanapun, membaca yang terlalu laju tidak semestinya baik. Sebaik-baiknya, kadar kelajuan membaca haruslah disesuaikan dengan apa yang dibaca dan tujuan membaca ketika itu.
Membaca yang dilakukan dalam keadaan yang terlalu pantas akan menyebabkan pembaca kehilangan isi-isi penting yang diperlukan atau gagal menggarap keseluruhan konsep yang cuba diketengahkan. Walau bagaimanapun, membaca yang terlalu perlahan tidak pula menguntungkan kerana hanya akan membazirkan masa. Membaca pantas hanya boleh berlaku melalui bacaan senyap atau membaca dalam. Ini kerana dalam bacaan kuat atau bersuara, pembaca akan menurunkan keupayaan membaca mereka pada kadar kelajuan bercakap. Sewaktu membaca kuat, pembaca akan melibatkan pergerakan bibir dan lain-lain alat pengucapan manusia.

                              ii.            Bacaan imbasan (scanning).
Bacaan imbasan yang juga dikenali sebagai scanning pula adalah kegiatan membaca yang dilakukan secara sepintas lalu. Hal ini disebut sebagai membaca tinjauan. Biasanya.sebelum kegiatan membaca itu dilakukan, pembaca akan meneliti terlebih dahulu bahagian-bahagian buku atau apa sahaja yang harus ditelaah. Hal ini dilakukan untuk mendapatkan maklumat awal dan gambaran keseluruhan tentang buku tersebut sebelum ia menjadi pilihan untuk dibaca. Membaca sepintas lalu ini melibatkan pembaca memeriksa, meneliti indeks, melihat daftar kata yang terdapat dalam buku tersebut. Kadang kala proses melihat-lihat, memeriksa dan meneliti judul-judul bab juga dilakukan. Hal ini juga berlaku pada skema, rangka kasar buku, bahagian bibliografi, kandungan prakata, pendahuluan, sinopsis, abstrak dan sebagainya
     Bacaan Ekstensif
Membaca ekstensif ialah kegiatan membaca secara luas. Objeknya meliputi sebanyak mungkin teks dalam jangka waktu yang singkat. Tujuan atau tuntutan kegiatan membaca ekstensif adalah untuk memahami isi yang penting-penting dengan cepat dan ia menganjurkan aktiviti membaca yang berkesan. Membaca ekstensif biasanya melibatkan perkara-perkara yang berikut:
a)      Membaca tinjauan (survey reading)
b)     Membaca sekilas (skimming)
c)      Membaca dangkal (superticial reading)
Membaca tinjauan (survey reading) dilakukan sebelum kita memulakan sesuatu bacaan. Biasanya, kita akan meneliti apa yang akan kita telaah itu terlebih dahulu. Hal ini mungkin melibatkan kita memeriksa, meneliti indeks dan daftar kata yang terdapat dalam buku-buku tersebut atau mungkin kita akan melihat-lihat atau meneliti judul, bab, rangka besar, kandungan dan sebagainya. Latar belakang pengetahuan seseorang akan menentukan tepat atau tidaknya, cepat atau lambatnya tinjauan dapat dilakukan. Membaca sekilas (skimming) adalah sejenis kegiatan membaca yang melibatkan mata bergerak dengan cepat melihat, memperhatikan bahan-bahan bertulis untuk mencari dan mendapatkan maklumat dan penerangan.
Skimming adalah satu bentuk kegiatan membaca yang dilakukan secara sekilas pandang. Biasanya, melalui proses skimming, mata bergerak dengan cepat, melihat memerhatikan bahan bertulis untuk mendapatkan maklumat atau penerangan dengan serta-merta. Satu daripada tujuan membaca sekilas adalah untuk mendapatkan kesan umum daripada sesebuah teks yang akan ditelaah. Pembaca mungkin akan melakukannya dengan jalan meneliti halaman judul, kata pengantar, daftar isi, gambar dan diagram, indeks dan sebagainya. Daripada tindakan begini, pembaca akan mendapat satu pandangan atau gambaran yang lebih baik dengan mempelajari sifat, hakikat dan jangkauan buku tersebut, susunan dan organisasinya.
Satu lagi tujuan membaca sekilas adalah untuk menemukan hal-hal tertentu. Lazim juga digunakan untuk menemukan bahan-bahan daripada pusat sumber atau perpustakaan. Membaca sekilas merupakan satu keterampilan yang sangat berfaedah sekiranya tidak disalahgunakan. Sekiranya kita dapat menggunakan dengan bijaksana, iaitu menggunakannya secara tepat dan cerdas, kita akan kagum betapa banyaknya maklumat dan fakta yang boleh perolehi dalam satu jangka masa yang singkat.
Membaca dangkal yang disebutkan juga sebagai superficial reading adalah bertujuan untuk mendapatkan pemahaman yang dangkal yang bersifat luaran atau tidak mendalam daripada sesuatu bahan bacaan. Bacaan ekstensif ialah bacaan meluas yang menekankan aktiviti–aktiviti membaca yang dilakukan di luar kelas. Bacaan ekstensif biasanya menitikberatkan aspek pengukuhan asas bacaan, menambah kemahiran memaham dan menaakul isi bacaan, meningkatkan kepantasan membaca. Membina dan mengukuhkan minat membaca dan kebolehan memetik isi-isi penting.
5.      Bacaan Rekreasi
Membaca rekreasi adalah satu lagi bentuk kegiatan membaca yang tidak melibatkan perahan otak yang begitu serius. Bacaan jenis ini adalah untuk tujuan bersenang-senang dan dilakukan dalam keadaan bersantai. Bahan-bahan bacaannya adalah yang terdiri daripada bahan-bahan ringan yang dapat merangsang kepuasan dan menghiburkan. Lazimnya bahan-bahan yang dibaca ialah komik, cerita-cerita pendek, informasi tertentu, berita, bahan sastera dan pelbagai bentuk pengetahuan yang menyenangkan.
6.      Bacaan Kritis
Bacaan kritis ialah kegiatan membaca yang dilakukan secara bijaksana, penuh ketelitian, mendalam, evaluatif serta analitis. Bacaan tersebut tidak hanya tertumpu kepada kesalahan-kesalahan atau kelemahan yang terdapat dalam bahan-bahan yang dibaca. Membaca kritis biasanya berdasarkan keupayaan memahami yang tinggi. Proses bemula dengan penggalian yang mendalam di bawah permukaan untuk menemukan bukan hanya keseluruhan kebenaran tentang apa yang diperkatakan, tetapi juga menemukan alasan-alasan mengapa penulis mengetengahkan perkara yang dibincangkan itu. Istilah membaca kritis ini biasanya disamaertikan dengan apa yang disebut oleh Dawson (1963) sebagai interpretive reading atau membaca intepretif atau creative reading, iaitu membaca kreatif oleh Anderson (1972).

7.0  TEKNIK BACAAN

                                i.            Teknik Membaca SQ3R
SQ3R ialah teknik membaca kritis yang telah diperkenalkan oleh Robinson (1961). Teknik tersebut merupakan satu kaedah membaca yang memerlukan seseorang mempersoal kesesuaian maklumat yang terdapat dalam sesuatu bahan yang dibaca dengan tugasan yang perlu diselesaikan. SQ3R adalah singkatan bagi S (survey) – tinjau
Q (question) - soal/Tanya
R (read) – baca
R (recite) - imbas kembali atau nyatakan secara lisan
R (review) - baca semula
Survey (tinjau) ialah langkah membaca untuk mendapatkan gambaran keseluruhan tentang apa yang terkandung di dalam bahan yang dibaca. Ini dilakukan dengan meneliti tajuk besar, tajuk-tajuk kecil, gambar-gambar atau ilustrasi, lakaran grafik, membaca perenggan pengenalan, dan perenggan terakhir di bahagian-bahagian buku atau teks. Di sini juga pelajar sebenarnya menggunakan teknik membaca pantas iaitu skimming dan scanning.
Question (soal atau tanya) ialah langkah yang memerlukan pelajar menyenaraikan satu siri soalan mengenai teks tersebut setelah mendapati teks tersebut berkaitan dengan keperluan tugasannya. Soalan-soalan tersebut menunjukkan keinginan pembaca tentang maklumat yang ingin diperoleh dari bahan tersebut, dan ianya menjadi garis panduan semasa membaca kelak. Pelajar akan cuba mencari jawapan kepada soalan-soalan tersebut.
Read (baca) ialah peringkat pelajar sebenarnya membaca bahan atau teks tersebut secara aktif serta mencuba mendapat segala jawapan kepada soalan-soalan yang telah disenaraiakannya sebelum ini. Ketika membaca, pelajar mungkin juga akan menyenaraikan soalan-soalan tambahan, berdasarkan perkembangan kefahaman dan keinginannya sepanjang melakukan pembacaan. Pelajar mungkin juga mempersoal pendapat atau maklumat yang terdapat yang ditemuinya.
Recite (imbas kembali) ialah peringkat yang ketiga.Setelah selesai membaca, pelajar cuba mengingat kembali apa yang telah dibaca dan meneliti segala yang telah diperoleh. Pemilihan maklumat yang sesuai dilakukan dalam konteks tugasannya. Pelajar juga boleh cuba menjawab soalan-soalan yang disenaraikan sebelumnya tanpa merujuk kepada kepada nota atau bahan yang telah dibaca.
Review (baca semula) merupakan peringkat terakhir. Pelajar membaca bahagian-bahagian buku atau teks secara berpilih untuk mengesahkan jawapan-jawapan kepada soalan yang dibuatnya di langkah ketiga. Pelajar juga memastikan tiada fakta penting yang tertinggal.
KWLH adalah singkatan bagi yang berikut;
K (know) Apa yang telah diketahui (sebelum membaca)
W (want) Apa yang hendak diketahui (sebelum membaca)
L (learned) Apa yang telah diketahui (selepas membaca)
H (how) Bagaimana untuk mendapat maklumat tambahan - yang berkaitan (untuk membaca seterusnya)
Apa yang jelas dari penerangan tersebut ialah suatu teknik membaca kritis di mana pembaca;
- mengingat dahulau apa yang telah diketahui
- membayang atau menentukan apa yang ingin diketahui
- melakukan pembacaan (bahan yang telah dipilih)
- mengetahui apa yang telah diperoleh dari pembacaan yang baru dilakukan
- menentukan apa lagi yang perlu diperoleh (sekiranya perlu membuat pembacaan seterusnya)
Teknik pembacaan akan membolehkan pelajar mengaitkan pengetahuan yang sedia ada dengan apa yang dibaca, menentukan apa yang telah diperoleh dari pembacaannya, dan menentukan apakh lagi bahan yang perlu dibaca sekiranya ingin mendapat maklumat tambahan


Dalam konteks pengajaran, pelajar dibiasakan menggunakan borang seperti yang di bawah sekiranya dikehendaki menggunakan teknik KWLH.
Know (K)
Apa yang sudah diketahui?
Want (W)
Apa yang hendak diketahui?
Learned (L)
Apa yang telah dipelajari/diperoleh?
How (H)
Apa lagi maklumat tambahan diperlukan?
 


 


 


 



Teknik skimming dan scanning ini sesuai digunakan untuk pembacaan bahan yang ringkas seperti sesuatu petikan mahu pun bahan bacaan yang lebih panjang seperti buku, jurnal dan majalah. Dalam pembacaan sesuatu petikan, kita hanya memberi perhatian kepada idea penting setiap perengan untuk mendapat gambaram umum. Idea-idea khusus sengaja diabaikan. Dalam pembacaan sesebuah buku pula. fokus kita diberikan  kepada bahagian tertentu di dalam buku itu seperti pengenalan, prakata, isi kandungan, tajuk utama, rumusan pada akhir bab dan rujukan indeks untuk mendapat gambaran umum tentang perkara yang dibaca.
Scanning ialah pembacaan cepat untuk mendapat maklumat yang khusus dan bukan untuk mendapat gambaran keseluruhan sesuatu bahan bacaan. Pembacaan cara ini boleh melangkau bahagian-bahagian tertentu yang difikirkan kurang penting. Ketika kita membaca, kita akan menggerakkan mata kita dari atas ke bawah dengan pantas mengikut muka surat petikan yang dibaca sambil menberi tumpuan kepada maklumat yang dicari. Oleh yang demikian, pembacaan cara ini adakah lebih cepat daripada pembacaan cara skimming.
Dalam konteks pembelajaran, skimming dan scanning boleh digunakan bersama. Biasanya, kita boleh membaca cara skimming untuk menentukan kesesuaian sesuatu bahan bacaan . Jika bahan berkenaan itu didapati sesuai maka kita boleh menggunakan teknik scanning untuk mendapatkan maklumat khusus yang dicari.
                            iv.            Teknik REAP           
Teknik  REAP pula memberi penekanan ke atas strategi pembacaan yang dikaitkan dengan pemikiran kritis di kalangan pelajar. Ini kerana  pembacaan kritis dapat membantu pelajar menguatkan lagi strategi pemahaman dengan mengambil kira penggunaan unsur kognitif dalam pembacaan. Tujuan teknik membaca REAP adalah untuk meningkatkan kemahiran meringkaskan pembacaan dan membantu pelajar mentafsir idea pengarang  dengan menggunakan perkataan sendiri serta membina kemahiran menulis bagi membantu mengingati idea hasil pembacaannya.
REAP adalah singkatan bagi R( read) – membaca. Proses membaca ini dilakukan bertujuan untuk memilih idea utama.. E ( Encode ) – mengekod. Proses ini bertujuan untuk memahami mesej oleh pengarang. A ( annote ) – menganotasi. Proses ini bertujuan untuk dengan membuat catatan mesej. P (ponder) – memikirkan. Proses ini bertujuan untuk memproses mesej.


8.0 PENUTUP
Kemahiran membaca sangat penting dikuasai oleh kanak-kanak kerana melalui pembacaan mereka dapat meningkatkan pencapaian mereka dalam pelajaran, meluaskan pengetahuan, mencari dan mengumpul maklumat-maklumat yang diperlukan dan lain-lain lagi. Guru memainkan peranan penting dalam mengajar kanak-kanak kemahiran membaca. Oleh itu guru perlu nmenggunakan pelbagai kaedah dan teknik pengajaran bacaan supaya kemahiran membaca dapat dikuasai dengan baik. Ujian-ujian pemahaman bacaan perlu dijalankan secara berterusan bagi mengetahui dan mamantau pencapaian murid dalam bacaan.
Tidak ada sesiapa menafikan peri pentingnya aktiviti membaca di dalam kehidupan. Membaca menjadi akar tunjang kekuatan seseorang individu, malah sesuatu bangsa dan sesebuah negara. Dikatakan bahawa betapa kuat pun sistem ketenteraan atau sistem ekonomi sesebuah negara, pasti akan tumbang jua akhirnya jika tidak didasari oleh ketinggian ilmu pengetahuan. Di peringkat awal, sudah tentu ilmu pengetahuan diperoleh melalui proses pembacaan.
Menyedari akan hal ini, pada tahun 1989, Kementerian Pelajaran Malaysia telah mengambil daya usaha untuk memperkenalkan Program NILAM melalui Surat Pekeliling Ikhtisas Bil 13/1998: Program Membina Tabiat Membaca. Arahan tersebut menghendaki setiap sekolah melaksanakan Program Galakan Membaca NILAM (Nadi Ilmu Amalan Membaca) secara terancang dan teratur. Di peringkat sekolah, telah terbukti bahawa amalan dan tabiat membaca di kalangan pelajar telah melahirkan individu yang menyerlah dalam pelbagai aspek. Kecemerlangan mereka tidak khusus kepada bidang akademik sahaja, malah memberi kesan langsung terhadap keterampilan, peribadi mulia, sahsiah dan tingkah laku. Pada ketika sama, sekolah yang memberi keutamaan terhadap aspek pembacaan di kalangan pelajarnya turut meraih kecemerlangan.

 
9.0  RUJUKAN
  • Kamus Dewan. 2005. Dewan Bahasa dan Pustaka. Kuala Lumpur.
  • Mazni bin Othman (22 September 2007), Program Peningkatan Kemahiran Membaca. SK. Kayan, Setiawan, Perak.
  • Sofiah Hamid (1983), Pendekatan Mengajar Bacaan Bahasa Melayu Di peringkat Sekolah Rendah, Kuala Lumpur: Utusan Publication and Distributors Sdn. Bhd.
  • Isahak Haron (2011), Pedagogi Literasi Bahasa Melayu, Kertas prosiding SEAMEO.
  • Isahak Haron (2002), Sumber guru (Mengajar Membaca dan Menulis Bahasa Malaysia Prasekolah), Siri Genius Fajar Bakti, Shah Alam.
  • Isahak Haron (2007), Modul Pengajaran Membaca dan Menulis Bahasa Melayu Prasekolah, UPSI.
  • Dunkin, Dolores (1998), Teaching Them to Read (6th edition) Allyn and Bacon.
  • Calhoun, Emily F. (1999), Teaching Beginning Reading and Writing with the Picture Word Inductive Model, ASCD.
  • Roger C. Farr. (1998), Portfolio and Performance Assessment : Helping Students Evaluate Their Progress as Readers and Writers.
  • Carol Lynch Brown. (1999), Essential of Children’s Literature 

No comments:

Post a Comment