Tuesday, May 19, 2015

Ras, Etnik dan Pendidikan di Malaysia.



Kajian Perpustakaan dengan Tema Ras, Etnik dan Pendidikan di Malaysia.

1.0              Pengenalan
Malaysia sebagai sebuah negara kecil di peta dunia, namun Malaysia mempunyai banyak keunikan tersendiri. Kedudukan geografinya yang strategik yang dari dahulu hingga kini menjadi jambatan penghubung antara dunia Barat dan Timur dalam aspek pembangunan dan perkembangan ekonomi, politik dan sosial dunia. Kemajmukan di Malaysia boleh dilihat melalui kewujudan pelbagai kumpulan etnik yang membentuk masyarakatnya. Ianya didahului dengan kewujudan tiga etnik besar iaitu Melayu, China dan India. Selain daripada tiga etnik terbesar iaitu Melayu, Cina dan India, Malaysia juga mempunyai suku kaum lain seperti Serani, Orang Asli di Semenanjung, Bajau, Kadazan dan Murut di Sabah dan Kedayan, Melanau dan Iban di Sarawak. Namun mereka masih dapat disatukan dalam satu ikatan kerakyatan dan hidup di bawah satu bentuk pemerintahan demokrasi raja berperlembagaan dengan satu cara hidup yang dipersetujui bersama.
Negara Malaysia juga yang pernah suatu masa dahulu, diberi gelaran sebagai sebuah negara plural society kerana mempunyai penduduk etnik yang pelbagai kini telah menjadi contoh ikutan kepada masyarakat dunia dari segi pengurusan dan pembangunan dalam konteks mewujudkan perpaduan dan keharmonian kaum. Ramai wakil dari luar baik Barat mahupun Timur datang ke negara ini untuk melihat, mengkaji dan seterusnya mempelajari kejayaan Malaysia dalam menangani isu-isu yang berkaitan dengan interaksi antara etnik. Sebenarnya jika dilihat dan diteliti, kejayaan Malaysia yang mampu menguruskan hubungan etnik ini bukanlah terjadi secara kebetulan atau terjadi dengan sendiri. Sebaliknya ia adalah hasil daripada kerjasama semua pihak sama ada dari pihak pemerintah atau pemimpin mahupun rakyat atau warga negara biasa Malaysia.
Kesemua mereka memainkan peranan penting dalam usaha mewujudkan perpaduan dalam kehidupan bermasyarakat. Namun begitu, ketika kita sedang menikmati keharmonian dalam perhubungan kaum, kita juga perlu berwaspada dan memberi perhatian yang sewajarnya bahawa negara ini masih mempunyai cabaran-cabaran dan halangan-halangan yang perlu diatasi dari semasa ke semasa bagi memelihara dan memperkukuhkan lagi perpaduan dikalangan masyarakat dan seterusnya mewujudkan masyarakat berintegrasi seperti yang diinginkan oleh semua pihak.
Antara cabaran atau halangan yang sedang dihadapi adalah dari segi penduduknya yang berbilang kaum yang sudah pasti juga berbeza dalam 114 aspek keagamaan, budaya dan adat resam, bentuk geografi Malaysia yang terpisah dua; iaitu Malaysia Barat dan Timur serta cabaran dalam konteks sejarah. Menyedari kewujudan cabaran ini, kerajaan berusaha menyelesaikan isu-isu berbangkit tersebut dengan beberapa tindakan pro-aktif seperti penyediaan dasar-dasar kerajaan, pembentukan sistem perundangan yang berkaitan, pembinaan ideologi tertentu yang bertujuan untuk mengelak sesuatu yang buruk berlaku seperti mana yang pernah dirakamkan oleh sejarah ketika terjadinya tragedi berdarah Peristiwa 13 Mei suatu masa dahulu.

2.0              Konsep Ras, Etnik Dan Interaksi Etnik Di Malaysia

Konflik etnik dan ras merupakan cemuhan terhadap peradaban manusia. Kurniaan Tuhan supaya setiap kaum berbangga dengan keunikan fizikal masing-masing telah dijadikan punca perbalahan antara kaum. Sungguhpun konflik etnik dan ras telah pun wujud sejak awal kewujudan manusia, namun ia masih berlarutan sehingga hari ini. Pada hari ini, konflik etnik dan ras tetap wujud di setiap pelusuk dunia. Ternyata, konflik yang berpunca dari ketidakadilan dan  rasa tidak puas hati antara manusia disebabkan oleh perbezaan warna kulit dan budaya yang masih ketara. Konflik yang berlaku di negara-negara bekas Persekutuan Soviet, Eropah Timur, negara-negara Balkan, Palestin, negara Afrika seperti Rwanda, juga di negara maju seperti Amerika Syarikat dan baru-baru ini di negara jiran kita Indonesia telah membuktikan kepada manusia sejagat bahawa ketegangan suku kaum telah membawa kepada keganasan dan konfrontasi. Maka, timbullah persoalan samada konflik etnik dan ras akan berkesudahan?
Ras (Race) adalah kumpulan manusia yang terdiri daripada lelaki dan perempuan yang berkongsi ciri-ciri biologi tersendiri yang diwarisi, dan dapat dibezakan dengan jelas dalam masyarakat (Macionis, 1998:214). Pada suatu ketika dahulu, manusia pernah dibahagikan kepada kategori Caucasoid, Mongoloid, Negroid dan Australoid dengan berdasarkan kepada perbezaan fizikal seperti warna kulit, warna rambut, rupa bentuk dan lain-lain. Walau bagaimanapun pembahagian sedemikian adalah secara kasar sahaja kerana memang terdapat golongan yang sukar diklasifikasikan ke dalam mana-mana kumpulan ras. Ini adalah kerana manusia sentiasa bergerak, bersosial, berinteraksi dan perkahwinan campur sering berlaku di antara satu sama lain. Kesannya akan menghasilkan golongan baru yang mempunyai keturunan campuran yang tidak dapat digolongkan ke dalam mana-mana kumpulan ras.
Menurut Academic American Encyclopedia (Volume 16:37), ras boleh didefinasikan sebagai teori atau falsafah yang menyatakan seseorang mewarisi ciri-ciri seperti warna kulit, rupa bentuk, warna rambut, tingkat laku, kelakuan atau tahap intelektual. Pengertian sedemikian menyebabkan sesetengah manusia mengangggap kaum mereka adalah lebih unggul daripada kaum lain. Penyalahgunaan konsep ras dalam konteks ini menyebabkan berlakunya prasangka dan diskriminasi di antara golongan tertentu di dalam dunia. Walau bagaimanapun, pengertian ini telah disangkal oleh Encyclopedia of Religion. Sebaliknya menurut Encyclopedia of Religion (Volume 12:184), manusia tidak sepatutnya di kelaskan mengikut ras. Manusia adalah dalam satu kelas yang sama dan setara. Tiada manusia yang lebih baik atau lebih handal dari yang lain semata-mata kerana perbezaan warna kulit, rupa bentuk dan sebagainya.
Pada hakikatnya, ras memang sukar untuk didefinasikan dengan jelas dan tepat kerana telah berlaku campur aduk golongan yang tulen disebabkan migrasi dan perkahwinan campur. Ramai ahli sosiologi turut bersetuju dengan pendapat sedemikian. Contohnya, Van den Berghe (1967), berpendapat bahawa istilah ras itu mengelirukan kerana ianya mempunyai empat pengertian utama. Yang pertama ialah ras digunakan sebagai satu konsep biologi untuk membezakan manusia atas dasar perbezaan "phenotype" dan "genotype". Walau bagaimanapun, tiada sebarang persetujuan yang dicapai oleh ahli antropologi dan sosiologi dan kebelakangan ini pengertian ini telah pun ditolak oleh sebahagian besar pakar sains sosial. Ras juga digunakan untuk memperihalkan suatu kelompok manusia yang mempunyai beberapa ciri kebudayaan yang sama seperti bahasa dan agama (Misalan: ras Peranchis dan ras Yahudi). Selain itu, ras juga digunakan secara longgar sebagai erti sekata dengan perkataan spesis (species). (Misalan: ras manusia). Tambahan pula, ras juga digunakan untuk merujuk kepada suatu kelompok manusia yang menganggap diri atau dianggap oleh kelompok lain sebagai berbeza daripada kelompok-kelompok mereka atas dasar perbezaan fizikal yang tidak dapat diubah. Namun begitu, Van den Berghe menegaskan bahawa hanya pengertian keempat sahaja sesuai digunakan dalam konteks sains sosial.
Etnik (ethnic) pula tidak dipengaruhi oleh faktor biologi tetapi ianya merujuk kepada golongan yang berkongsi budaya yang diwarisi (Macionis, 1998:215). Golongan dari etnik yang sama akan mempunyai kesamaan dari segi asal-usul, bahasa dan agama. Sebagai contoh, di bekas negara Yugoslavia, etnik Serb, Croatia dan Bosnia secara fizikalnya adalah sama (sama ras) tetapi mereka berbeza dari segi budaya, bahasa dan agama. Pada dasarnya ras dan etnik adalah hampir sama dari segi pengertian dan bagi mengelakkan kekeliruan, konsep "kelompok etnik" digunakan bagi merujuk kepada golongan-golongan yang berbeza dari segi kebudayaan, kepercayaan, adat resam, bahasa, agama dan sebagainya.


Walau bagaimanapun, dari segi amalan perbezaan di antara konsep ras dan etnik kadang-kala menjadi kabur dan kedua-duanya digunakan secara saling-ganti seperti di Malaysia, di mana kelompok-kelompok Melayu, Cina dan India yang sepatutnya dikenali sebagai kelompok-kelompok etnik juga dipanggil kelompok-kelompok ras dalam keadaan tertentu.

3.0              Perbandingan Dengan Negara Lain
3.1  Konflik Etnik Dan Ras Di Amerika Syarikat

Di Amerika Syarikat, diskriminasi ras mempunyai hubungan yang rapat dengan sistem perhambaan yang wujud di negara itu pada kurun ke-18 dan ke-19. Walaupun perhambaan telah dihapuskan, tetapi tidak bererti ketidaksamaan di antara kaum telah dihapuskan. Sehingga kini, masyarakat Amerika umumnya masih menuntut ke arah pembentukan "American Creed" (cita-cita kebangsaan Amerika untuk mencapai kesamaan, demokrasi, kebebasan, keadilan dan lain-lain) dan mengecam sebarang bentuk diskriminasi dan prasangka ras dalam sebarang bentuk.
Sungguhpun kesamarataan hak di antara kaum kulit putih dengan kaum kulit hitam pernah diperjuangkan oleh Dr. Martin Luther King pada awal sejarah Amerika Syarikat, namun rusuhan kaum di Los Angeles pada tahun 1992 telah membuktikan kepada dunia bahawa walaupun setelah lebih daripada dua abad Amerika Syarikat mencapai kemerdekaan, namun hubungan antara ras masih begitu rapuh.
Peristiwa hitam 1992 tercetus akibat daripada kes kekasaran ke atas Rodney King oleh dua anggota polis kaum kulit putih, ia telah menyebabkan kemarahan kaum kulit hitam (Associated Press, 3 Mac. 1998). Ekoran daripada itu, rusuhan kaum telah dilancarkan secara besar-besaran di seluruh bandaraya Los Angeles. Seluruh bandaraya Los Angeles menjadi lumpuh akibat daripada rusuhan pada ketika itu. Namun, tidak banyak yang berubah sejak itu. Sentimen kebencian masih menebal di antara ras dan etnik.
Pada hakikatnya, diskriminasi dan prasangka atas dasar warna kulit nyata masih berterusan di Amerika Syarikat. Sungguhpun wujudnya idea mengenai individualisme (individualisme) dan kebebasan hak, masyarakat Amerika rata-rata masih menilai kemampuan seseorang mengikut kaum, etnik dan kelas sosial. Kaum kulit putih diletakkan pada status yang lebih tinggi berbanding kaum lain. Hak kaum bukan kulit putih dalam soal pembahagian kawasan perumahan, peluang pelajaran dan pekerjaan masih dipertikaikan. Permodenan dan pembangunan ekonomi secara dasarnya tidak memanafaatkan kaum kulit hitam. Ramai antara mereka masih tinggal di kawasan-kawasan mundur yang dikenali sebagai "ghettoes".
Konflik ras dan etnik di Amerika Syarikat juga dipengaruhi oleh fenomena "Hate crime" iaitu jenayah yang bermotifkan unsur perkauman terhadap seseorang atau harta bendanya (Macionis, 1998: 141). Ini dapat dilihat dalam kes pembunuhan James Byrd Jr. di Texas baru-baru ini. Dalam kes tersebut, James, seorang kaum kulit hitam telah diikat pada trak dan diheret sehingga mati oleh sekumpulan kaum kulit putih yang dipercayai anti kaum kulit hitam (New Strait Times, 11 Jun. 1998).
Di Amerika Syarikat, media penyebaran juga mempunyai kesan yang mendalam terhadap konflik ras dan etnik. Sering kali isu ketidakpuasan individu atau segelintir masyarakat diperbesar-besarkan serta dikaitkan dengan politik dan perkauman sehinggakan mewujudkan ketegangan antara kaum atau etnik. Ini dapat dilihat dalam kes pembunuhan terhadap O. J. Simpson, di mana perbicaraan ini telah mendapat liputan meluas media penyebaran (Macionis, 1998:220). Keputusan mahkamah telah dicabar dan didakwa berat sebelah dalam menjatuhkan hukuman kepada kaum kulit hitam. Isu individu dalam soal ini telah dikaitkan dengan ketidakadilan terhadap kaum kulit hitam.

3.2  Konflik Etnik Dan Ras Di Asia Tenggara
Di Asia Tenggara, corak diskriminasi yang berlaku berbeza dari keadaan di Amerika Syarikat, Britain atau Afrika Selatan dalam dua aspek yang berlainan. Masalah ras di Amerika Syarikat, Britain dan Afrika Selatan kebanyakannya melibatkan hubungan kaum kulit putih dengan kaum kulit hitam yang lebih, berasaskan kepada perbezaan fizikal, sedangkan situasi di Asia Tenggara biasanya melibatkan isu perbezaan etnik dan kebudayaan.
 
3.3  Konflik Etnik dan Ras Di Malaysia 
Isu perkauman memang tidak dapat dielakkan apabila terdapat golongan atau kumpulan manusia yang mempunyai beberapa ciri kesamaan seperti biologi atau budaya cuba mempertahankan golongan masing-masing dan pada masa yang sama menindas kaum lain. Banyak organisasi politik dan sosial di negare kita dibentuk berasaskan kepada garis perkauman atau etnik. Organisasi sedemikian hanya memperjuangkan kepentingan dan merebut hak-hak yang dirasakan perlu tanpa memikirkan kepentingan golongan lain, keharmoni dan kesejahteraan negara.
Negara kita juga pernah mengalami peristiwa berdarah akibat dari rusuhan kaum dalam peristiwa 13 Mei 1969, sehinggakan keadaan darurat terpaksa diisytiharkan di seluruh negara kita. Konflik ras juga boleh mengakibatkan pengasingan kumpulan-kumpulan tertentu dari segi pelajaran, perumahan dan pekerjaan. Organisasi-organisasi yang demikian akan bersaing untuk mendapatkan sokongan seluas mungkin dari kumpulan etnik masing-masing dengan menggunakan beberapa faktor penting seperti persamaan bahasa, agama, ras atau pengenalan etnik. Apabila kepercayaan dan tindakan demikian meluas dalam masyarakat, sudah tentu ia akan dapat mempengaruhi dan kadang-kadang menentukan perkembangan politik dalam sesebuah negara.
Kesan penjajahan merupakan faktor utama punca konflik etnik dan ras di Malaysia. Walaupun Malaysia telah mencapai kemerdekaannya selama 40 tahun, tetapi kesan penjajahan British masih segar di minda setiap rakyat. Dasar pemeritahan British bercorak pecah dan perintah telah mengasingkan tiga golongan utama bangsa di Malaysia iaitu golongan Melayu. Cina dan India. Dasar kolonial mengenai imigrasi, pelajaran, pentadbiran, ekonomi, tanah, bahasa dan kebudayaan telah meninggalkan kesan yang berpanjangan sehingga sekarang. Dasar imigrasinya yang bebas telah mengubah sama sekali komposisi penduduk di negara ini. Dasar ekonominya pula telah menyebabkan timbul pengkhususan ekonomi mengikut etnik dan pengasingan tempat tinggal dalam kalangan mereka akibat dari kegiatan ekonomi yang berlainan.
Penjajah Inggeris tidak menjadikan pendidikan sebagai alat penting untuk menyatupadukan rakyat yang berbagai etnik itu. Malah apa yang dilakukan ialah mementingkan pendidikan bahasa Inggeris kepada segelintir rakyat khususnya golongan yang berada demi kepentingan pentadbirannya. Sedangkan pendidikan Melayu dilakukan secara melepaskan batuk di tangga sahaja. Pendidikan untuk orang-orang bukan Melayu tidak dipedulikan langsung.
Oleh sebab itu, orang-orang Cina dan India terpaksa mengendalikan sekolah mereka sendiri dan menanggung perbelanjaan sendiri. Perkembangan pendidikan yang tidak terkawal ketika itu akhirnya menimbulkan sikap dan orientasi politik yang berbeza. Di samping itu, melalui dasar dan pentadbirannya pula, Inggeris telah meninggalkan kesan psikologi yang meluas dalam kalangan rakyat dengan menanam prasangka dan stereotaip dalam kalangan mereka.
Penjajah Inggeris akhirnya berjaya mempengaruhi sikap orang yang dijajahnya itu supaya menghormati dan menyanjung tinggi mereka sebagai kumpulan yang lebih tinggi daripada kumpulan-kumpulan ras yang lain pada ketika itu. Sebaliknya pula, terdapat banyak prasangka dan stereotaip negatif yang memandang rendah dan hina dalam kalangan berbagai kumpulan ras. Hal ini bukan sahaja menghalang wujudnya kerjasama dan persefahaman dalam kalangan mereka tetapi juga boleh menimbulkan syak wasangka dan perasaan benci menbenci dalam kalangan mereka. Semua kesan ini sukar untuk dikikis habis-habisan biarpun kita telah lama bebas dari belenggu penjajahan British.
3.4  Konflik Etnik dan Ras Di Indonesia 
Masalah politik dan ekonomi sesebuah negara akan menjadi kayu pengukur kepada keamanannya. Jelas sekali sewaktu keadaan ekonomi di Indonesia mengalami masalah dengan kejatuhan nilai mata wang rupiah. Maka timbulkan masalah konflik etnik yang serious di Indonesia. Politik perkauman yang telah wujud dalam kalangan-kalangan etnik boleh menjadi punca kepada konflik etnik ini. Dasar kerajaan yang melihat masalah politik dan ekonomi di negara ini sebagai masalah ethik.
Ketidakseimbangan ekonomi dalam kalangan rakyatnya menjadi punca utama penyebab konflik ini. Ini dapat dilihat dengan timbulnya golongan perniagaan dan perusahaan yang tidak sama besar antara kaum, maka ketidak wujudnya perseimbangan ekonomi dalam kalangan rakyat boleh membawa kepada masalah etnik. Masalah kepincangan ekonomi dalam kalangan rakyat ini sebagai masalah keturunan atau masalah kumpulan etnik. Boleh dikatakan bahawa masalah ekonomi dan politik memberi kesan yang mendalam kepada keamanan sesebuah negara.
Dasar-dasar kerajaan yang mengutamakan kepentingan kumpulan etnik tertentu dan mengabaikan kepentingan kumpulan etnik lain bukan saja tidak akan berjaya menimbulkan keseimbangan ekonomi di antara kumpulan etnik itu, tetapi tidak akan berjaya mewujudkan persefahaman dan perpaduan yang tulen dalam kalangan rakyatnya. Sebaliknya dasar yang demikian akan melebarkan lagi jurang perbezaan ekonomi di antara kumpulan etnik itu dan seterusnya akan menimbulkan pula jurang ekonomi dalam tiap-tiap kumpulan etnik itu sendiri.
Dasar perjuangan parti-parti politik perkauman yang lebih mengutamakan perjuangan untuk kepentingan satu-satu kumpulan etnik tertentu daripada kepentingan negara dan rakyat secara umunnya. Keadaan ini telah menyebabkan perpaduan dan persefahaman dalam kalangan rakyat yang berbagai etnik gagal mencapai tujuannya. Kecenderungan mahu mengasingkan dan memisahkan rakyat mengikut garis etnik itu sebenarnya lebih kuat daripada kecenderungan yang mahu menyatupadukan mereka. Keadaan ini menimbulkan perasaan tidak puas hati, curiga mencurigai dan permusuhan dalam kalangan kumpulan etnik berterusan dan mengugat keamanan.
Konflik di antara kumpulan etnik di Indonesia bukan berpunca dari faktor keturunan atau fizikal tetapi berpunca dari faktor politik, ekonomi dan kebudayaan. Ketiga-tiga faktor ini menarik kumpulan-kumpulan tersebut ke arah yang berlainan dan mendorong mereka membentuk kumpulan-kumpulan berdasarkan kepada garis etnik. Dengan demikian maka kerenggangan dan pengasingan yang sedia wujud dalam kalangan mereka itu akan bertambah kritikal lagi. Selanjutnya perbezaan-perbezaan ini boleh menimbulkan perbezaan dalam kepentingan, nilai dan penentangan dalam cita-cita.
Manifestasi perbezaan kelas dalam tiap-tiap kumpulan etnik itu juga boleh menyebabkan berlakunya konflik. Tiap-tiap kumpulan etnik itu mempunyai kedudukan yang berbeza-beza berdasarkan kepada kelas ekonomi dan status sosial mereka. Penggolongan diri mereka ke dalam kelas-kelas yang berbeza ini boleh menimbulkan masalah etnik.

3.5  Konflik Etnik Dan Ras Di Negara-negara Balkan
Senario di negara-negara Balkan adalah amat berbeza dan kompleks. Kemelut di negara-negara Balkan diselubungi oleh pelbagai faktor yang berkaitan dengan sejarah, struktur etnik dan prasangka. Salah satu punca berlakunya konflik di bekas negara Yugoslavia adalah kepelbagaian budaya (cultural diversity) yang ketara dan kewujudan usaha pemeliharaan status quo dalam kalangan etnik. Bayangkanlah dalam sebuah negara yang kecil, terdapat tiga jenis agama, empat jenis bahasa ibunda dan saling terpengaruh dengan budaya dari tujuh buah negara sempadan yang lain, tetapi malangnya mempunyai lima jenis kerakyatan dalam pembahagian enam wilayah autonomi (Slovenia, Croatia, Bosnia-Herzegovina, Montenegro, Macedonia dan Serbia) (Macionis, 1998:44)
Konflik etnik di Yugoslavia berlaku selepas kejatuhan regim komunis pada tahun 1980. Kesempatan ini telah memperlihatkan tiga kelompok etnik utama iaitu Serb, Croat dan Muslim terheret dalam kancah pertempuran pada awal 1990an. Kaum Serb merupakan kaum dominan dari segi politik dan ketenteraan. Mereka wujud sebagai kaum majoriti di Serbia dan Montenegro, tetapi juga wujud sebagai kaum minoriti di Croatia dan Bosnia. Konflik di negara Balkan bermula pada 25 Jun 1991, apabila wilayah Slovenia dan Croatia mengisytiharkan kemerdekaan. Walaupun mendapat pengikhtirafan antarabangsa, tindakan Slovenia dan Croatia segera mendapat reaksi dari kaum Serb di Serbia dengan penghantaran tentera bagi menyekat kemerdekaan di kedua-dua wilayah tersebut. Kemerdekaan Slovenia berjalan lancar dan tidak mendapat tentangan hebat dari pihak Serb kerana tidak mempunyai kaum minoriti Serb. Croatia sebaliknya terpaksa mempertahankan wilayahnya dari tentangan kaum minoriti Serb di bumi mereka dan juga tentera persekutuan Serbia.
Pergerakan menuntut kemerdekaan di wilayah jiran turut memaksa Bosnia-Herzegovina menuntut kemerdekaan pada 7 April, 1992 selepas suatu pungutan suara. Tindakan parlimen Bosnia ternyata gagal mengambil kira tahap kepekaan dalam kalangan etniknya. Struktur etnik wilayah Bosnia yang terdiri daripada gabungan kaum Muslim, Serb dan Croat telah terdedah kepada bahaya pertumpahan darah yang bakal menanti (Fogelquist, 1995).
Selain dari tidak terkecuali dari tentangan pihak Serbia, kedudukan geografi turut menyebabkan Bosnia secara tidak tidak langsung terheret dalam pertem ejarah penubuhan republik Yugoslavia. Bermula dengan zaman penaklukan oleh Empayar Rom, zaman kebangkitan Islam oleh Empayar Ottoman, dan kedua-dua Perang Dunia, kebencian dan rasa tidak puas hati sememangnya tersemat di jiwa setiap etnik. Walau bagaimanapun, cengkaman politik oleh diktator Josip Broz Tito semasa pemerintahan komunis telah berjaya menangkis sebarang konflik etnik (Reidlmayer, 1993).
Konflik di Balkan juga berpunca dari pemimpin yang mementingkan kekuasaan. Selepas kejatuhan fahaman Sosialis, muncul pemimpin radikal Serbia, Slobodan Miloshevich yang melaung-laungkan agenda "nartional question". Agenda tersebut bercita-cita untuk menyatupadukan kaum Serb di Serbia dalam sebuah negara yang bebas dari kaum bukan Serb (Reidlmayer, 1993). Akibatnya, kaum minoriti Albania di wilayah Kosovo diusir dari bumi Serbia. Melalui kempen "pembersihan etnik" (ethnic cleansing), kaum Bosnia telah dibunuh, dirompak, diusir dari kampung halaman, wanita-wanita Bosnia dirogol, manakala lelaki pula ditahan serta diseksa di kem-kem tahanan.
Selain daripada itu, wujud juga ketidakadilan pembahagian sosio-ekonomi. Miloshevich berusaha untuk memperluaskan pengaruh kaum Serb dari segi pendidikan, ekonomi, ketenteraan dan politik di seluruh Yugoslavia. Akhir sekali, konflik Bosnia juga memperlihatkan kegagalan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) dalam misi keamanan di Yugoslavia. Sekatan senjatan dan ekonomi yang dipengaruhi oleh kuasa-kuasa Barat seperti Amerika Syarikat dan Kesatuan Eropah (EU), ternyata berbelah bagi dan memihak kepada Serbia serta mengeruhkan lagi konflik etnik di Yugoslavia (Fogelquist, 1995).
3.6  Konflik Etnik Dan Ras Di Britain
Di Britain juga tidak lepas dari masalah diskriminasi walaupun kaum pendatang di Britain (yang terdiri dari penduduk yang berasal dari Hindi Barat, India, Pakistan dan lain-lain) tidak melebihi dari dua peratus dari jumlah penduduknya. Walaupun diskriminasi ras diharamkan di sisi undang-undang, bentuk-bentuk diskriminasi yang tidak rasmi masih berlaku, terutama sekali dalam segi pembahagian pekerjaan dan perumahan.

3.7  Konflik Etnik Dan Ras Di Afrika Selatan
Diskriminasi ras melalui Dasar Apartheid yang telah dimansuhkan pada tahun 1994 di Afrika Selatan, memperlihatkan bagaimana kaum kulit putih yang juga kaum pemerintah melakukan berbagai-bagai jenis penindasan dan eksploitasi ke atas kaum bukan kulit putih (Frederickson, 1981). Berbeza dari keadaan dalam kalangan masyarakat lain seperti Amerika Syarikat dan Britain, di mana diskriminasi dan prasangka diharamkan oleh pemerintah. Di Afrika Selatan, diskriminasi adalah disokong oleh pihak pemerintah melalui undang-undangnya. Diskriminasi dan rasisme telah menjadi satu amalan hidup.
Dalam Dasar Apartheid, kaum bukan kulit putih dianggap sebagai inferior atau lebih rendah dan diberi layanan kelas kedua dalam bidang politik, ekonomi, sosial dan kebudayaan. Semua bentuk diskriminasi adalah sah dari segi undang-undang dan undang-undang telah disalahgunakan oleh pihak pemerintah (kaum kulit putih) untuk memastikan kekuasaan mereka ke atas kaum majoriti iaitu kaum kulit hitam.
3.8  Faktor-faktor Konflik Etnik Dan Ras
Terdapat beberapa faktor yang menyebabkan atau membawa kepada berlakunya konflik etnik dan ras, faktor-faktor konflik ini tidak sama dari satu negara dengan negara lain. Terdapat beberapa faktor yang utama yang mendorong kepada berlakunya masalah etnik dan ras ini ialah perebutan kuasa di antara kelompok-kelompok atau kumpulan etnik. Dari aspek politik dan ekonomi, perubahan politik dan perkembangan ekonomi yang mencetuskan banyak peluang baru yang menguntungkan telah memperhebatkan lagi persaingan di antara kumpulan-kumpulan masyarakat. Setiap kelompok atau kumpulan akan berusaha untuk mendapatkan sokongan padu daripada kumpulan masing-masing untuk memastikan kejayaan dan keberkesanan persaingan itu. Keadaan ini boleh mewujudkan konflik kerana terdapat penonjolan berbagai-bagai isu perkauman yang diutarakan untuk memenangi persaingan. Apabila pilihanraya diadakan sudah tentu masyarakat majoriti akan mengalahkan masyarakat minoriti. Apabila ini berlaku sudah tentulah wujudnya penindasan. Ini boleh menyebabkan atau mendorong kepada berlakunya perasaan tidak puashati dan mungkin boleh menyebabkan ketegangan dalam kalangan masyarakat atau kelompok-kelompok.Apabila kestabilan ekonomi tergugat, maka masalah atau konflik akan bertambah hebat.
Faktor yang kedua pula diskriminasi dan prasangka atas dasar warna kulit nyata merupakan faktor yang utama pendorong berlakunya konflik etnik dan ras. Terdapat sesetengah masyarakat negara-negara tertentu masih menilai kemampuan seseorang mengikut kaum, etnik dan kelas sosial. Ada kaum-kaum tertentu diletakkan pada status yang lebih tinggi berbanding kaum lain. Hak kaum lain yang status lebih rendah dalam soal pembahagian kawasan perumahan, peluang pelajaran dan pekerjaan masih dipertikaikan. Permodenan dan pembangunan ekonomi secara dasarnya tidak memanafaatkan kaum yang berstatus rendah ini.
Ketiga pula, Layanan atau pandangan yang berbeza-beza diberikan oleh individu atau kelompok terhadap individu atau kelompok yang lain. Konflik akan hanya wujud apabila mereka memandang dan menganggap bahawa perbezaan ras, kebudayaan, agama, kelas sosial atau lain-lain lagi sebagai sesuatu yang boleh membezakan taraf, kedudukan dan sebagainya. Ini terletak pada pandangan mereka sendiri. Ia juga boleh disebut sebagai diskriminasi. Andainya wujud hak kesamarataan atau beranggapan bahawa semua ahli masyarakat adalah sama maka tidak akan wujud konflik . Ini dapat dilihat dari perspektif "transcendentalisme" di mana sifat murni diri perlu wujud agar terhindar konflik etnik dan ras.
Keempat pula penubuhan organisasi demikian bukan sahaja menghadkan keanggotaannya kepada anggota dari kumpulan etnik tertentu tetapi juga bertujuan untuk melindungi dan memperjuangkan kepentingan kumpulan yang diwakilinya. Dengan wujudnya begitu banyak organisasi yang berasaskan etnik dan ras, jelas menunjukkan betapa besarnya pengaruh perasaan perkauman itu dalam kalangan masyarakat. Kegiatan dan perjuangan organisasi-organisasi demikian boleh mendorong kepada peningkatan darjah polarisasi etnik dan ras.
Salah satu punca berlakunya konflik adalah kepelbagaian budaya (cultural diversity) yang ketara dan kewujudan usaha pemeliharaan status quo dalam kalangan etnik, tetapi tidak diterapkan unsur-unsur integrasi nasional.
3.9  Langkah-Langkah Mengatasi Konflik etnik dan Ras
Konflik etnik dan ras ini tidak akan menguntungkan sesebuah negara itu mahupun rakyatnya. Ramai rakyat yang tidak berdosa telah terkorban dan banyak harta yang musnah. Malah ia membawa kerugian dan pengalaman pahit kepada rakyat di negara yang berlakunya masalah konflik etnik dan ras. Konflik etnik dan ras di sesebuah negara boleh di atasi dengan beberapa langkah dan strategi untuk mempastikan peristiwa yang sedemikian rupa tidak akan terjadi. Di antara langkah-langkah penting yang perlu dilakukan dengan membasmi kemiskinan tanpa mengira perbezaan etnik dan ras. Sesebuah masyarakat perlu dibuat penyusunan semula untuk memperbaiki ketidakseimbangan ekonomi di antara kumpulan etnik dan menghapuskan pengenalan etnik dengan kegiatan ekonomi dan kawasan tempat tinggal. Dalam masyarakat tersebut kepentingan umum akan lebih diutamakan daripada kepentingan kaum atau kumpulan-kumpulan yang tertentu.
Kebebasan dan hak-hak asasi individu dalam sesebuah negara akan dijamin dalam perlembagaannya. Dengan ini satu masyarakat adil dapat dilahirkan, semua rakyatnya mempunyai peluang yang sama untuk menikmati kemakmuran negara mereka, kekayaan negara pula akan diagihkan secara saksama dan tidak akan dibenarkan berlaku pemerasan manusia oleh manusia. Organisasi politik yang berasaskan kepada kepentingan etnik perlu dihapuskan dan mewujudkan percampuran di antara etnik-etnik untuk mewujudkan sebuah organisasi yang sependapat.
Sistem pendidikan juga boleh memainkan peranan yang berkesan untuk menjamin keamanan sesebuah negara yang mempunyai pelbagai golongan etnik dan ras. sistem pendidikan ini boleh menjadi agen sosialisasi bagi memupuk keperibadian dan kesedaran bersama dalam kalangan rakyat negara-negara yang terlibat. Melalui pendidikan jugalah sesebuah negara itu dapat melahirkan perpaduan dan persefahaman antara golongan etnik dan ras. Sikap dan pemikiran perkauman dalam kalangan pelajar-pelajarnya dapat dikikis dan dihapuskan dengan pendidikan yang berkesan.
Sebilangan besar parti-parti politik yang berasaskan kepada perjuangan kepentingan kumpulan etnik masing-masing perlu dibawa bersama ke dalam satu ikatan politik yang lebih besar. Pembentukan politik campuran ini menyenangkan sesebuah kerajaan dalam proses pembentukan bangsa yang bersatu. Setiap permasalah yang timbul dalam kumpulan-kumpulan etnik boleh dibawa berbincang. Politik campuran ini boleh mencari jalan penyelesaian dalam keadaan berlakunya konflik. Walaupun semua rakyat inginkan perpaduan tetapi masing-masing mempunyai tanggapan dan cara yang berlainan. Oleh itu, perbezaan pendapat tentang cara dan pendekatan untuk mencapai perpaduan itu sentiasa wujud. Perbezaan pandangan ini timbul kerana dipengaruhi oleh keadaan realiti politik dan masyarakat itu sendiri.

4.0              Isu-Isu Yang Melibatkan Interetnik Dan Intraetnik Melayu, Cina Dan India

Seperti yang kita ketahui, Malaysia didiami oleh kaum-kaum dari pelbagai latar belakang etnik, budaya, tradisi dan sistem kepercayaan dan anutan Islam, Buddhisme, Daoisme, Hinduisme, Christianity, Sikhisme dan kepercayaan-kepercayaan lain serta amalan animism yang lain yang kebanyakkannya oleh kaum peribumi Sabah dan Sarawak. Manakala, dari segi bahasanya pula, masyarakat Malaysis memiliki kepelbagaian bahasa seperti Bahasa Melayu (bahasa rasmi), Bahasa Cina atau mandarin (dengan pelbagai dialek seperti kantonis,mandarin,Hokkien,Hakka,Hainan dan Foochow), Bahasa Inggeris,Bahasa Tamil, Bahasa Telugu,Malayalam,Punjabi dan Thai serta bahasa suku dan etnik yang berlainan dalam kalangan Orang Asli dan pribumi di Sabah dan Sarawak.
Cabaran besarnya ialah bagaimana mahu membina jalinan harmoni dalam hubungan interetnik dan intraetnik? Apakah strategi terbaik bagi menguruskan kepelbagaian etnik dan pada waktu yang sama mengekalkan kedamaian dan keharmonian hubungan kaum? Dalam hal ini, kerajaan telah mengambil pelbagai langkah dan pendekatan bagi mengenal pasti masalah dan menguruskan kepelbagaian ini. Antaranya, kerajaan telah menubuhkan sebuah jabatan khusus bagi menangani permasalahan hubungan kaum di Malaysia, iaitu Jabatan Perpaduan Negara. Dahulunya, jabatan ini diletakkan di bawah Kementerian Perpaduan Negara dan Pembangunan Masyarakat. Selepas penyusunan semula kementerian-kementerian tahun 2004, jabatan ini telah diletakkan di bawah Jabatan Perdana Menteri dan dikawal selia oleh seorang menteri kabinet  persekutuan.
Kajian Abdullah Taib (1984) di tiga buah universiti iaitu Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Universiti Pertanian Malaysia (UPM) dan Universiti Malaya (UM) adalah berkenaan kadar interaksi dalam kalangan pelajar pelbagai kaum. Beliau mendapati bahawa darjah interaksi adalah tinggi hanya wujud dalam kalangan sesama etnik (intra-ethnic) jika dibandingkan dengan kadar interaksi antara etnik (inter-ethnic).  Keadaan terjadi disebabkan para pelajar menziarahi rakan-rakan bertujuan untuk membuat perbincangan  pelajaran atau menyiapkan tugasan. Pelajar-pelajar bukan Melayu mengunjungi teman Melayu adalah untuk memperbaiki esei ataupun catatan nota kuliah. Kajian juga menunjukkan para pelajar kurang  meminta nasihat atau pertolongan kerana ia melibatkan nilai emotif yang tinggi dan sukar dibincangkan  dengan rakan etnik yang lain. Polarisasi etnik nyata wujud dalam kalangan pelajar apabila didapati sebilangan besar pelajar Melayu tidak mengunjungi bilik kaum Cina dan India. Mereka lebih suka mengunjungi bilik sesama etnik.
Kajian yang dilakukan oleh Sanusi Osman pula mendapati bahawa kebanyakan kegiatan yang melibatkan peluang- peluang interaksi para pelajar tidak mendorong kepada hubungan mahupun pergaulan yang lebih  luas. Ini disebabkan para pelajar lebih cenderung untuk melakukan kegiatan sesama etnik. Antara faktor-faktor yang mendorong kepada wujudnya masalah polarisasi adalah disebabkan oleh masalah pelajar dan institusi universiti yang akhirnya membawa kepada social sanction. Kedua; masalah struktur dan perkembangan masyarakat yang membawa isu-isu kepentingan kaum-kaum tertentu. Ketiga; masalah  sistem politik dan ekonomi iaitu para pelajar di institusi pengajian tinggi banyak dipengaruhi oleh unsur-unsur politik luaran yang akhirnya mengabaikan tanggungjawab mereka sebagai pelajar dan jarang memikirkan strategi ke arah memupuk hubungan kaum yang lebih rapat dalam kalangan pelajar pelbagai kaum.
Langkah ini bolehlah dilihat sebagai satu langkah penting oleh pihak berkuasa bagi menangani permasalahan integrasi nasional dengan mengambil kira segala aspek yang melibatkan perpaduan antara kaum di Malaysia.

4.1  Hubungan Interetnik
Hubungan interetnik merujuk kepada hubungan antara satu etnik dengan entik yang berlainan. Hal ini merupakan cabaran besar yang sedang dihadapi oleh masyarakat negara ini dalam proses pembentukan bangsa Malaysia yang memiliki dan menghayati nilai dan jati diri Malaysia, cintakan negara, memiliki semangat patriotisme yang tinggi dan bersedia mempertahankan martabat dan kedaulatannya pada bila-bila masa diperlukan.
Berasaskan senario semasa, banyak usaha telah dilakukan oleh pihak kerajaan melalui pelbagai dasar dan usaha dalam menangani masalah hubungan interetnik. Hal ini termasuklah memperkenalkan Rukun Negara, Dasar Kebudayaan, Dasar Sosial, Dasar Pendidikan dan Dasar Bahasa, Sekolah Wawasan dan yang Mutakhir ialah Program Latihan Khidmat Negara (PLKN). Kesemua ini diperkenalkan bagi membolehkan rakyat Malaysia yang terdiri daripada pelbagai latar belakang etnik berinteraksi dan menghayati nilai-nilai yang dikongsi bersama dalam usaha menyuburkan intergrasi nasional. Pada peringkat nasional, cabaran utama yang sedang sedang dihadapi oleh masyarakat negara ini adalah sejauh mana dasar-dasar yang diperkenalkan oleh kerajaan oleh kerajaan ini telah Berjaya memupuk semangat perpaduan, setia kawan, kesalingan dan harmoni kaum di Malaysia?
Cabaran pada  peringkat global pula dapat dilihat daripada banyaknya pergolakan yang berlaku di negara-negara yang didiami oleh masyarakat pelbagai etnik. Ketegangan hubungan kaum yang berlaku di Afrika(seperti di Rwanda dan Burundi), Eropah Timur(seperti di Bosnia Hezergovina), Indonesia (seperti di Ambon) dan di tempat-tempat seharusnya membuka mata kita bahawa konflik kaum boleh tercetus dan berlaku pada bila-bila masa atau sesuatu sebab.
Bagi masyarakat Malaysia, konflik yang berlaku di tempat lain harus dilihat sebagai pengajaran yang boleh menyedarkan kita akan betapa perlu dan pentingnya menjaga sensitivity dan keharmonian antara kaum. Aspek-aspek yang penting dalam menjaga keharmonian hubungan antara kaum seperti kesaksamaan dan keadilan sosial, hak asasi, agihan kekayaan dan peluang dan pendidikan perlu sentiasa diberi perhatian. Hal ini membolehkan semua pihak merasakan mereka mendapat keadilan dan tiada pihak yang merasakan diri atau kaumnya tersisih. Cabaran yang besar sering dihadapi adalah apabila adanya pihak yang mengambil kesempatan dan tidak mahu mengambil pengajaran daripada pengalaman negara lain dalam soal menguruskan hubungan antara kaum.
4.2  Hubungan Intraentik
Di Malaysia cabaran dalam hubungan etnik tidak hanya terhad kepada yang bersifat interetnik, tetapi juga intraetnik. Hubungan intraetnik merujuk kepada hubungan antara sesame kaum atau satu keturunan. Banyak faktor yang membawa kepada keadaan tersebut. Dalam konteks Malaysia, faktor yang boleh dianggap utama adalah wujudnya politik kepartian. Kewujudan parti politik yang berbeza tetapi mewakili atau didominasi oleh kaum atau etnik yang sama telah sedikit sebanyak mendorong berlakunya masalah dalam hubungan intraetnik.
Bagi kaum Melayu misalnya, kewujudan dua parti politik yang besar UMNO dan PAS pada ketika ini sedikit sebanyak mewujudkan masalah hubungan antara sesama orang Melayu Islam. Di samping itu, Parti Keadilan Rakyat Malaysia yang walaupun asasnya sebuah parti pelbagai kaum, tetapi dominasinya ialah kaum Melayu juga. Dengan demikian, warna-warni perhubungan antara kaum di Malaysia semakin bertambah. Perlu difahami bahawa dalam negara yang mengamalkan demokrasi di mana pemerintah dipilih melalui pilihan raya, amalan politik berparti adalah sesuatu yang sememangnya diizinkan dan malah menjadi prasyarat kepada demokrasi itu sendiri. Persaingan yang sihat dan membina harus disuburkan dan digalakkan.
Persoalan yang wujud adalah, setelah melalui lebih sepuluh kali pilihan raya, adakah telah wujud budaya politik yang sihat dalam kalangan pemimpin dan masyarakat di Malaysia? Adakah rakyat Malaysia telah matang dan menerima persaingan politik sebagai sesuatu yang sihat dan membina? Dalam hal ini, antara cabaran besar yang sedang dihadapi adalah bagaimana mendewasakan atau mematangkan masyarakat Malaysia tentang sisitem politik serta falsafah dan amalan demokrasi yang membenarkan persaingan politik yang sihat. Keadaan ini nampaknya belum lagi wujud di Malaysia yakini masih kedengaran pertikaian politik membawa kepada hubungan yang tidak harmoni antara sesama kaum.


5.0              Isu-Isu Interaksi Antara Wilayah

Integrasi wilayah boleh dianggap sebagai satu konsep persefahaman antara rakyat tanpa mengira wilayah atau kawasan asal mereka. Integrasi wilayah juga boleh ditakrifkan sebagai integrasi bercorak membangunkan sosio-ekonomi negeri atau wilaya yang maju dan kurang maju. Dalam konteks Malaysia, wilayah boleh diertikan sebagai kawasan yang meliputi entiti geografi serta sempadan politik iaitu wilayah yang dikenali sebagai Persekutuan Malaysia. Malaysia merupakan sebuah persekutuan yang mengandungi 14 negeri. Perkembangan sosio-ekonomi tiap-tiap negeri ini tidak seimbang dan setara di antara satu sama lain. Oleh yang demikian ,maka wujudlah keadaan di mana terdapatnya negeri-negeri maju dan negeri-negeri yang kurang maju di negara ini.
Oleh itu, strategi pembangunan untuk integrasi wilayah  adalah untuk mengurangkan jurang perbezaan ekonomi dan struktur di antara wilayah-wilayah dalam negara ini.Struktur ini dilaksanakan atas asas keupayaan setiap wilayah atau negeri untuk menggerakkan pembangunan sektor pertanian dan perusahaan khususnya di negeri-negeri yang kurang maju. Integrasi wilayah ini sangat penting agar hilang rasa kebencian, cemburu antara satu sama lain dan wujudnya perasaan kasih sayang, hormat menghormati dan sebagainya.. Sebagai contoh, jurang dalam aspek pembangunan ekonomi dan kemudahan sosial.  Jika di wilayah semenanjung terdapat kemudahan pendidikan tinggi maka di wilayah timur juga turut didirikan institusi tersebut seperti adanya Institut Pendidikan Guru Malaysia Kampus  Sabah dan Sarawak, Universiti Malaysia Sabah / Sarawak. Begitulah juga dalam aspek lain.

6.0              Dasar-Dasar Atau Polisi Interaksi Antara Etnik Dan Perpaduan
6.1  Dasar Perpaduan
Perpaduan kaum bukanlah satu perkara yang masih baru lagi bagi negara ini. Pengalaman hubungan antara pelbagai kaum yang sudah terjalin sejak zaman kesultanan Melayu Melaka menjadi asas kepada hubungan yang terbentuk pada masa kini. Seman (2011) menakrifkan perpaduan sebagai satu proses yang menyatupadukan anggota masyarakat dan negara keseluruhannya melalui ideology negara supaya tiap-tiap anggota masyarakat dapat membentuk satu identity dan nilai bersama serta satu perasaan kebangsaan bersama dalam kalangan mereka. Menurut Prof. Madya Dr. Zainal Abidin Ahmad Mazlan Zulkifly (2006), “Tanpa perpaduan, negara itu akan terdedah kepada pelbaga-bagai  kelemahan dan ancaman yang boleh menjejaskan kedaulatan negara itu sendiri.” Keadaan ini telah menunjukkan bertapa penting mewujudkan  perpaduan dalam kalangan masyarakat Malaysia supaya Malaysia tidak akan menghadapi masalah yang boleh menggugat kedaulatan dan kemakmuran negara untuk menjadi Malaysia sebuah negara yang aman dan maju.
Maka jelaslah bahawa perpaduan memainkan peranan penting dalam memacu kestabilan dan kemajuan negara. Sejak merdeka lagi, kerajaan telah memupuk semangat perpaduan dalam memakmurkan negara kita. Pelbagai dasar telah dijalankan untuk mencapai proses perpaduan ini. Tanpa perpaduan, kemajuan negara yang ingin dicapai untuk Wawasan 2020 tidak mungkin akan menjadi kenyataan kerana kerjsama diperlukan untuk menjana kemajuan. Dalam membentuk perpaduan kaum, kerajaan perlu menjalankan dasar perpaduan supaya rakyat Malaysia menjadikan dasar ini sebagai pegangan mereka dalam mencapai perpaduan kaum yang harmoni.
Dasar perpaduan boleh dicapai melalui dua cara iaitu integrasi dan asimilasi. Integrasi merupakan satu proses bagi mewujudkan satu identity nasional dalam kalangan kumpulan-kumpulan yanterpisah dari segi kebudayaan, sosial dan lokasi dalam sesebuah unit politik. Manakala, asimilasi pula ialah satu proses bagaimana kumpulan-kumpulan minorti diasimilasikan melalui perkahwinan campur dan sebagainya ke dalam kumpulan etnik yang lebih besar.
6.2  Dasar Pendidikan
Dasar pendidikan kerajaan yang mentadbir penting dalam membentuk perpaduan kaum di Malaysia. Bermula dengan Laporan Bernas ketikaa zaman penjajahan British dahulu sehinggalah ke Falsafah Pendidikan Kebangsaan yang dijalankan kini. Pada peringkat permulaan, kerajaan British telah memperkenalkan Laporan Barnes pada tahun 1950 sebelum negara ini ingin mencapai kemerdekaan. Tujuannya adalah supaya Tanah Melayu boleh berkerajaan sendiri dengan perpaduan kaum yang berlaku. Tambahan pula, tentangan kuat komunis pada masa itu menyebabkan British khuatir kaum-kaum di negara ini akan terpengaruh dengan komunis sekali gus menyebabkan huru hara. Laporan Barnes mencadangkan Bahasa Melayu digunakan sebagai bahasa pengantar pada peringkat sekolah rendah serta bahasa inggeris pada peringkat sekolah menengah dan peringkat yang lebih tinggi. Cadangan ini diharapkan dapat merapatkan jurang komunikasi antara kaum serta merapatkan hubungan mereka.
Masyarakat cina menentang cadangan ini kerana dikatakan menggugat bahasa ibunda mereka. Masyarakat cina mencadangkan Laporan Fenn-Wu supaya sekolah vernacular cina dikekalkan walaupun mereka bersetuju dengan sistem pendidikan kebangsaan. Ordinan Pelajaran 1952 kemudiannya diperkenalkan dengan mengambil kira kedua-dua laporan di atas. Walau bagaimanapun, ordinan ini tidak dapat dijalankan kerana tentangan masyarakat Cina dan India, kekurangan kewangan dan ancaman komunis. Kemudian, Laporan Rahman Talib diperkenalkan yang menekankan penggunaan bahasa melayu sebagai bahasa kebangsaan dan ia menjadi Akta Pelajaran 1961. Jawatankuasa Kabinet telah mengkaji keberkesanan sistem pendidikan serta mempertingkatkan kualitinya dengan pelaksanaan Kurikulum Baharu Sekolah Rendah (KBSR) dan Kurikulum Bersepadu Sekolah Menengah (KBSM).
Jika kita lihat pada sistem pendidikan kini, kerajaan telah melaksanakan Falsafah Pendidikan Kebangsaan yang menjadi pelengkap kepada Dasar Pendidikan Kebangsaan. Dasar ini penting dalam memupuk perpaduan kaum dan integrasi nasional. Perkembangan pendidikan di Malaysia ternyata mengalami banyak perubahan, terutama sejak zaman penjajahan hinggalah zaman selepas merdeka. Perkembangan masyarakat seiring dengan perkembangan dasar-dasar negara yang sentiasa ditambahbaik bagi memastikan keperluan rakyat terbela.
Menurut Mior Khairul (2011) dalam kajiannya yang bertajuk  Sistem Pendidikan di Malaysia: Dasar, Cabaran, dan Pelaksanaan ke Arah Perpaduan Nasional menyatakan bahawa  perubahan dalam sektor pendidikan menjadi intipati penting dalam pengukuhan perpaduan negara ke arah yang lebih baik kerana pendidikan menjadi peneraju pembentukan masyarakat. Beliau juga menekankan aspek-aspek murni amat ditekankan dalam pendidikan kerana sebagai sebuah masyarakat majmuk, nilai-nilai murni perlu ada dalam diri setiap  masyarakat.  Tambahan pula,  beliau menyarankan dalam kajiannya bahawa mutu pendidikan yang sempurna serta hubungan masyarakat yang harmoni menjadi tunggak kejayaan yang akan menjadikan Malaysia sebuah negara maju dan dapat merealisasikan Wawasan 2020.
Selain itu, peranan sistem pendidikan meliputi aspek-aspek menyediakan persekitaraan serta kemudahan yang kondusif bagi keperluan sosiolisasi dalam kalangan sebilangan besar rakyat negara ini dalam lingkungan usia muda dan menyediakan saluran penyebaran dan penerapan pengetahuan, sikap dan nilai yang boleh melahirkan kesedaran nasional, semangat cinta dan bangga kepada negara dan perpaduan antara rakyat berbilang kaum dengan menitikberatkan satu sistem persekolahan dari peringkat prasekolah hingga ke peringkat university atatupun swasta dengan menggunakan Bahasa Melayu sebagai bahasa pengantaraan, kurikulum dan kokurikulum yang seragam dan satu jenis peperiksaan dan satu jenis pensijilan yang mempunyai pengiktirafan yang sama.
Dalam sektor pendidikan, sistem persekolahan yang sempurna menjadi pendekatan yang digunakan untuk memastikan perpaduan dalam kalangan masyarakat. Tema perpaduan dalam sistem persekolahan amat dititiberatkan kerana hanya melalui perpaduan matlamat mencapai Wawasan 2020 dapat direalisasikan. Bermula dari sekarang (2014), hanya 6 tahun sahaja masa yang ada untuk negara Malaysia menjadi negara maju.
Namun begitu, dengan situasi masyarakat dan negara sekarang timbul persoalan tentang persediaan untuk menghadapinya. Contohnya, hubungan masyarakat Malaysia kini masih lagi perlu diperkukuhkan kerana masih wujud tanda-tanda kelemahan dalam hubungan masyarakat. Sistem persekolahan sepatutnya menjadi medium penggerak kepada masyarakat supaya mereka dapat disatupadukan melalui peluang pendidikan. Tetapi, masih wujud permasalahan dalam menentukan sistem persekolahan kerana ada sesetengah pihak mahu mengekalkan sistem persekolahan yang sedia ada, manakala sesetengah pihak lain mahu perubahan.
Masalah-masalah dalam sistem pendidikan yang bermatlamatkan perpaduan negara ialah  Masalah isu berbangkit hak bumiputra dan bukan bumiputra, Jurang pencapaian pendidikan orang Melayu dan bukan Melayu melalui peluang pekerjaan dan pendapatan, Masalah keciciran pelajar-pelajar Melayu dan bukan Melayu, Hubungan yang renggang antara pelajar Melayu dan bukan Melayu, Kurangnya pergaulan antara pelajar Melayu dan pelajar bukan Melayu, terutama selepas waktu sekolah; dan Kurangnya pengetahuan dan tidak memahami dengan mendalam mengenai budaya, amalan, dan adat resam sesuatu kaum.

Maka, melalui pelaksanaan dasar pendidikan yang terancang dan hubungan masyarakat yang baik, maka tentunya perpaduan dalam kalangan Masyarakat Malaysia semakin kukuh. Jika hanya dasar-dasar sahaja yang berjalan dengan baik tetapi hubungan masyarakat tidak baik, pastinya negara Malaysia masih sukar untuk bergerak maju ke hadapan. Dasar-dasar yang dirancang perlu seiring dengan hubungan masyarakat yang harmoni.Oleh itu, ditekankan bahawa pendidikan menjadi alat membentuk perpaduan kaum.

6.3  Dasar Kebudayaan Kebangsaan
 Dasar ini menjadi panduan pembentukan dan pengekalan identity rakyat Malaysia. Objektif dasar ini dijalankan adalah untuk mengukuhkan perpaduan melalui kebudayaan. Budaya merupakan eleman penting bagi sesuatu masyarakat memandangkan budayalah yang memberikan identiti kepada sesuatu bangsa. Kepelbagaian kaum dan bangsa di negara ini telah mempelbagaikan juga budaya Malaysia dan ini sekaligus menjadikan Malaysia sebuah negara yang unik dan menjadi perhatian masyarakat dunia.
Terdapat juga eleman budaya yang ditekankan dalam Dasar Kebudayaan Kebangsaan. Yang pertama ialah pemakanan iaitu setiap kaum mempunyai makanan mereka yang tersendiri yang membezakan antara satu kaum dengan kaum lain. Dalam usaha mengintegrasikan kaum melalui pemakanan, setiap kaum perlu mengetahui apakah makanan yang digemari oleh kaum yang lain dan apa yang mereka makan dan apakah makanan yang  mereka tidak boleh makan. Dengan bersikap begini Sesuatu kaum tidak akan menaruh perasaan syak wasangka terhadap pemakanan kaum yang lain.
Yang kedua pula gaya hidup. Gaya hidup setiap kaum juga perlu diketahui oleh setiap masyarakat Malaysia. Dalam hal ini setiap kaum mempunyai gaya hidup dan kegiatan harian yang berbeza di antara satu sama lain. Setiap kaum mempunyai gaya hidup yang unik. Selain itu, setiap kaum perlu mengkaji corak dan cara hidup kaum yang lain supaya mereka dapat memahami cara hidup orang Islam bagaimana, cara hidup orang cina bagaimana, cara hidup India bagaiman dan sebaliknya.

6.4  Dasar Ekonomi Baru

Dasar Ekonomi Baru adalah satu formula yang dirancangkan oleh kerajaan untuk tempoh dua puluh tahun bermula pada tahun 1971 dalam Rancangan Malaysia Kedua sehingga tahun 1990 dalam Rancangan Malaysia Kelima. Dasar ini adalah sebagai kesinambungan rancangan-rancangan pembangunan yang lalu. Ia dibentuk untuk membetulkan ketidakseimbangan sosio ekonomi yang wujud di antara kaum, wilayah dan kawasan di Malaysia. Pelan induk untuk dasar ini dikenali sebagai Rangka Rancangan Jangka Panjang (RRJP 1) 1971-1990. DEB dilaksanakan melalui strategi serampang dua mata, iaitu mengurang dan seterusnya membasmi kemiskinan dengan menambahkan pendapatan dan memperbanyakkan peluang-peluang pekerjaan kepada semua rakyat tanpa mengira keturunan dan kaum dan Mempercepatkan proses penyusunan semula masyarakat Malaysia bagi membaiki ketidakseimbangan ekonomi di antara kaum. Usaha ini diharap dapat mengurang dan seterusnya menghapuskan pengenalan kaum mengikut fungsi-fungsi ekonomi.

DEB bertujuan untuk mewujudkan satu susunan sosio-ekonomi yang adil bagi rakyat Malaysia mencapai perpaduan negara. Dalam tempoh tersebut, kerajaan berharap dapat mengurangkan ketidakseimbangan di antara kaum Melayu dan bumiputera lain dengan kaum bukan bumiputera dalam semua bidang. Ini kerana terdapat tanda-tanda menunjukkan bahawa terlalu banyak kemiskinan dan ketaksamarataan yang dialami oleh orang Melayu, merupakan sebab utama berlakunya perasaan tidak puas hati dan menimbulkan masalah.Keadaan ini ternyata boleh menggugat kestabilan negara sekiranya kemiskinan hanya tertumpu kepada sesuatu kaum sahaja. Banci pada tahun 1970 menunjukkan bahawa sebanyak 49.3 peratus daripada semua keluarga di Semenanjung Malaysia menerima pendapatan di bawah garis kemiskinan. Sejumlah 86 peratus daripada keluarga miskin tersebut berada di kawasan luar bandar, sementara 14 peratus lagi di kawasan bandar. Kebanyakan penduduk-penduduk dari luar bandar terdiri dari orang Melayu. Mereka lebih bertumpu dalam sektor ekonomi yang paling mundur misalnya sebagai penanam padi, pekebun kecil getah dan kelapa dan nelayan. Selain itu, dasar ini dibentuk bagi membetulkan kedudukan ketidakseimbangan sosio ekonomi yang wujud antara kaum.

6.5  Sukan Alat Perpaduan
Sukan merupakan bidang yang paling ideal bagi membentuk perpaduan dan integrasi dalam kalangan rakyat berbilang kaum, keturunan, umur dan taraf sosioekonomi, bukan sahaja dalam kalangan atlet, tetapi juga dalam kalangan penontonnya, khususnya bagi acara sukan yang popular.  Hal ini kerana sukan menwujudkan peluang dan persekitaraan bagi pergaulan daan interaksi sosial dan melahirkan suasana yang sangat sesuai bagi memupuk semangat persaudaraan dan solidariti tanpa mengira kaum dan keturunan. Maka, dasar ini bertujuan untuk menyemarakkan semangat patriotik rakyat. Majlis Sukan-Sukan Malaysia (MSSM) yang ditubuhkan pada peringkat sekolah dan Temasya Sukan Malaysia (SUKMA) adalah contoh dasar ini. Ia mengeratkan perpaduan kaum dan hubungan antara negeri.
Melalui sukan juga dapat membantu menaikkan semangat patriotism dan mencairkan perasaan etnosentrisme, prejudis dan prasangka buruk dalam kalangan rakyat, lebih-lebih lagi apabila acara itu diadakan di tanah air dan boleh ditonton di televisyen atau diikuti menerusi siaran langsung khususnya sukan di peringkat kebangsaan dan antarabangsa yang diwakili oleh pasukan kebangsaan atau negara.

6.6  Wawasan 2020
Pada 28 Februari 1991, Perdana Menteri Malaysia Dato’ Seri Dr. Mahathir Mohamad telah membentangkan satu kertas kerja bertajuk “Malaysia: The Way Forward” di Majlis pelancaran Malaysian Business Council. Kertas kerja ini mengandungi satu rangka kerja mengenai matlamat menjadikan Malaysia sebuah negara maju pada tahun 2020 - dikenali sebagai “Wawasan 2020”. 
Idea ini dicelup daripada sejarah kemajuan Jepun iaitu ketika zaman pemerintahan Mikado Meiji, beliau telah menetapkan dalam masa 30 tahun pemerintahannya, Jepun menjadi negara maju setanding dengan negara maju lain. Kita lihat bagaimana seorang pemimpin kita seperti Tun Dr. Mahathir Mohamad yang kuat membaca dan mengkaji sejarah telah mengaplikasikannya dalam memajukan negara kita. Beliau mempunyai pandangan yang jauh dan bijak mentadbir negara. Beliau menetapkan tahun 2020 negara Malaysia akan menjadi negara industri yang maju di dunia.
Sebenarnya Wawasan 2020 bukanlah merupakan sebuah dasar khas, sebagaimana dasar-dasar lain yang dibincangkan sebelum ini. Ia merupakan suatu tindakbalas kepada perkembangan ekonomi, sosial dan politik yang berlaku di peringkat nasional dan antarabangsa yang telah memberi cabaran hebat kepada negara. Wawasan 2020 wajar dibincangkan di sini kerana ia berkaitan rapat dengan usaha kerajaan untuk membangunkan dan mencapai taraf sebuah negara maju.
Target wawasan 2020 ini ialah menjadikan Malaysia sebagai negara industri maju dengan menggunakan acuan tersendiri setanding negara-negara maju dunia. Kemajuan yang diharapkan bukan seperti di negara-negara maju di Barat yang menitikberatkan kemajuan fizikal tetapi menekankan kemajuan bersepadu. Kemajuan bersepadu yang dimaksudkan ialah perpaduan rakyat, kestabilan politik, ketinggian taraf hidup, kekukuhan nilai moral,  etika, kekukuhan sistem kerajaan, ketinggian maruah bangsa serta semangat keyakinan bangsa.
Sebagai rakyat jelata, kita perlulah mencapai target Wawasan 2020 ini dalam menjadikan Malaysia sebagai negara industri maju setanding dengan negara-negara maju lain di dunia. Oleh itu, Tun Dr. Mahathir Mohamad pada zaman pemerintahannya telah menetapkan 9 cabaran yang perlu ditempuhi negara dalam mencapai status negara maju. Dengan mengetahui kelemahan-kelemahan yang perlu kita atasi, mudahlah bagi kita membuat ‘checklist’ bagi cabaran yang diatasi untuk merealisasikan Wawasan 2020.
1.      Membina bangsa Malaysia yang bersatu padu
2.      Membina bangsa yang berjiwa bebas, tenteram dan berkeyakinan.
3.      Memupuk dan membina masyarakat demokratik yang matang.
4.      Mewujudkan masyarakat yang bermoral dan beretika.
5.      Mewujudkan masyarakat yang matang, liberal dan bertoleransi.
6.      Membina masyarakat yang maju dan saintifik.
7.      Masyarakat yang berbudaya penyayang.
8.      Menjamin masyarakat yang adil dan saksama ekonominya.
9.      Memupuk dan membina masyarakat makmur.
Bagi mencapai status negara maju, perpaduan menjadi tunjangya  dan dingatkan bahawa Perpaduan Teras Kejayaan negara.
Dasar-dasar kerajaan digubal dan dilaksanakan selaras dengan nilai-nilai sosio-ekonomi dan politik negara pada satu-satu masa. Oleh kerana sifatnya yang dinamik, maka dasar-dasar kerajaan sentiasa berubah-ubah mengikut nilai-nilai masyarakat dan pucuk pimpinan dari semasa ke semasa. Selepas tercetusnya Tragedi 13 Mei, segala dasar yang digubal khususnya pada awal tahun 1970an, adalah berteraskan DEB sebagai dasar induk yang bertujuan untuk mencapai perpaduan negara. Pada masa kini dasar-dasar kerajaan adalah berteraskan Wawasan 2020 sebagai memenuhi hasrat untuk menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara maju menjelang tahun 2020. Namun prinsip-prinsip asas dasar-dasar berkenaan tetap kekal seperti asal. Apa yang beza adalah pendekatan kerana ia perlu disesuaikan dengan perubahan masa.

7.0              Cadangan Meningkatkan Perpaduan
Menurut Prof. Madya Dr. Zainal Abidin Ahmad Mazlan Zulkifly (2006) "masalah perpaduan bagi negara-negara yang mempunyai satu keturunan bangsa tidaklah sebegitu serius berbanding dengan negara-negara yang mempunyai penduduk yang terdiri daripada pelbagai suku kaum dan etnik seperti Malaysia.” Keadaan ini telah menunjukkan bahawa wujudnya halangan-halangan dalam usaha dan strategi kerajaan Malaysia untuk memastikan usaha mencapai perpaduan dan intergrasi nasional tercapai. Maka jelaslah langkah dan strategi yang berkesan dan secara berterusan akan memupuk dan melahirkan jiwa perpaduan dalam kalangan semua rakyat.
Terdapat beberapa cadangan bagi meningkatkan perpaduan daripada pandangan saya. Yang pertama ialah Peranan Dasar Kerajaan. Kerajaan memainkan peranan utama dalam membentuk lanskap masyarakat Malaysia, terutama selepas merdeka. Melalui dasar-dasar dan strategik yang dilaksanakan, perubahan demi perubahan telah kelihatan, malah menjadi agenda utama negara untuk membangunkan masyarakat (INTAN Malaysia, 1994). Dasar-dasar awam merupakan alat yang digunakan untuk memastikan pentadbiran kerajaan berjalan dengan lancar dalam membangunkan negara dan masyarakat. Dasar awam boleh didefinisikan, antaranya, sebagai apa sahaja pemilihan kerajaan, sama ada untuk membuat sesuatu atau tidak membuat sesuatu (Jan-Erik Lane, 2000). Selain itu, dasar awam ialah sesuatu pilihan utama yang dibuat oleh seseorang individu bagi menjelaskan, menerang, mempertahankan, memimpin atau menggariskan sesuatu tindakan, sama ada yang nyata atau bertujuan (Jeong Chun Hai @ Ibrahim & Nor Fazlina Nawi, 2007).
Menurut Ahmad Atory Hussin, dasar awam ialah program atau projek yang dirancang oleh kerajaan yang mempunyai tujuan dan matlamat tertentu. Contohnya, Laporan Razak 1956 dan Laporan Rahman Talib 1960 telah menampakkan keberkesanan pelaksanaan dasar yang dirangka (dalam Syed Othman Alhabhi & Hasnan Hakim, 2010). Setiap dasar yang dirangka perlu mengikut kehendak dan keperluan masyarakat supaya tidak timbul sebarang masalah. Contohnya, sistem persekolahan satu aliran dan Pengajaran Pendidikan Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) menjadi penanda aras bahawa dasar yang dilaksanakan memerlukan penambahbaikan segera.
Melalui dasar pendidikan, kerajaan boleh memainkan peranan dengan mengabungkan
semua sekolah kebangsaan, sekolah jenis kebangsaan Cina dan Tamil dan mengadakan,  menganjurkan program bersama yang melibatkan penyertaan semua murid-murid dan guru. Selain itu, pengisian pelajaran di sekolah kebangsaan boleh diselaraskan semula dengan menggunakan isi kandungan yang sama dengan menambah bahasa Mandarin dan Tamil sebagai mata pelajaran wajib di sekolah jenis kebangsaan Cina dan Tamil. Satu sistem persekolahan boleh dijalankan melalui penggabungan elemen-elemen – termasuk kebudayaan, pemakanan, dan adat resam – yang terdapat dalam sekolah kebangsaan, sekolah
jenis kebangsaan Cina dan Tamil. Tambahan pula,  pengisian kurikulum dan ko-kurikulum perlu seiring dengan keperluan masyarakat kini yang menekankan nilai-nilai jati diri, mempunyai sifat patriotisme, bertoleransi yang harus diperkasakan lagi, dan memerlukan nilai tambah serta menjadikan gagasan 1Malaysia sebagai tambahan wajib dalam matapelajaran di semua jenis sekolah yang menjadi peneraju pembinaan bangsa kerana pendidikan merupakan cabang utama penggerak kepada tercapainya gagasan 1Malaysia.
            Cadangan kedua pula, Sistem Penyampaian. Pihak kerajaan adalah pihak pemerintah yang berkuasa penuh untuk membuat keputusan kerana telah mendapat mandat
daripada rakyat. Kerajaan seharusnya menggunakan segala keperluan dan kebebasan yang ada untuk menjadi pihak penyampai yang efisen. Sistem penyampaian merupakan alat yang sangat penting yang berperanan sebagai pemberi maklumat yang tepat dan berinformasi. Masalah yang perlu diambil serius ialah mengenai cara penyampaian oleh pihak pemerintah kepada rakyat. Biasanya, sistem penyampaian ini ialah melalui media-media dan juga agensi-agensi kerajaan. Contohnya Kementerian Penerangan dan Komunikasi. Dalam menyampaikan informasi mengenai pendidikan, tidak semua masyarakat tahu mengenai perubahan yang dilakukan terhadap dasar, dan mereka juga sering terpengaruh dengan berita-berita yang salah. Keadaan ini menyebabkan masyarakat akan memandang serong terhadap kerajaan, walaupun sebenarnya kerajaan telah menjalankan tanggungjawab dengan baik. Zaman kini merupakan zaman yang terbuka dari segala segi, termasuk sumber maklumat. Melalui Kementerian Penerangan dan Komunikasi serta agensi-agensi kerajaan yang lain, sistem penyampaian dapat menjadi penggerak utama dalam mengambil semula hati rakyat dan kepercayaan mereka terhadap dasar-dasar kerajaan.

Sistem penyampaian sistematik dan berkesan boleh dilakukan melalui:-
1.      Menggunakan sepenuhnya peranan media, sama ada cetak mahupun elektronik, sebagai medium utama dengan menayangkan iklan-iklan TV bertemakan perpaduan dengan lebih kerap lagi dan ruang papan kenyataan yang mempromosikan keunikan masyarakat Malaysia.
2.       Melakukan promosi-promosi dengan lebih kerap lagi dengan membuka pusat sehenti di merata tempat, terutama memberi fokus kepada masyarakat luar bandar berkenaan dengan dasar-dasar kerajaan yang terkini supaya rakyat memahami perkara sebenar.
3.      Menggunakan Van bergerak di seluruh negara yang menjadi simbol dan rujukan untuk rakyat mengetahui perancangan yang dilakukan kerajaan
4.      Menjadikan sekolah sebagai pusat sumber maklumat bagi segala dasar-dasar dan program-program yang dijalankan oleh kerajaan.

Pada pendapat saya, Hubungan Masyarakat juga menjadi tunjang kejayaan dalam memupuk perpaduan. Masyarakat Malaysia yang berbilang bangsa dan agama mempunyai risiko untuk berkonflik, malah dalam kalangan bangsa yang sama, banyak masalah yang timbul. Bagi menjaga keharmonian negara, masyarakat Malaysia perlu sentiasa menjaga perhubungan kaum agar dapat membangunkan masyarakat yang mempunyai minda kelas pertama. Menurut Simon Fisher et al. (2000), konflik dalam masyarakat disebabkan oleh polarisasi, ketidakpercayaan, dan permusuhan di antara kelompok-kelompok yang berbeza. Teori ini boleh menjadi tunjuk sebab mengapa perpaduan negara ini sukar untuk dicapai secara keseluruhan, di mana rakyat yang berbilang kaum mempunyai pemikiran dan persepsi yang negatif terhadap kaum lain. Contohnya, peristiwa 13 Mei 1969 menjadi petunjuk hubungan kaum di Malaysia (Shamsul Amri Baharuddin, 1990: 31). Melalui pelaksanaan dasar pendidikan yang terancang dan hubungan masyarakat yang baik, maka tentunya perpaduan dalam kalangan Masyarakat Malaysia semakin kukuh. Jika hanya dasar-dasar sahaja yang berjalan dengan baik tetapi hubungan masyarakat tidak baik, pastinya negara Malaysia masih sukar untuk bergerak maju ke hadapan. Dasar-dasar yang dirancang perlu seiring dengan hubungan masyarakat yang harmoni.


8.0              Kesimpulan
Proses pemupukan perpaduan dan integrasi nasional memainkan peranan yang amat penting dalam pembentukan sesebuah negara lebih-lebih lagi dalam sesebuah negara yang berbilang kaum, agama, bahasa, budaya dan sebagainya seperti Malaysia. Kerajaan telah mengambil pendekatan yang melibatkan pelbagai dimensi bagi menjayakan proses ini. Banyak perancangan, program dan aktiviti juga telah dan sedang dilaksanakan oleh kerajaan berhubung dengan perkara ini.
Walau bagaimanapun, kejayaan dalam segala perancangan program dan aktiviti yang dilaksanakan oleh kerajaan terletak di tangan setiap rakyatnya. Sekiranya soal perpaduan dan integriti ini tidak diberi perhatian serius, maka hasrat murni ke arah perpaduan mungkin terbantut. Penglibatan dan penyertaan mereka amatlah penting bagi merealisasikan pembentukan rakyat Malaysia yang bersatupadu dan mempunyai satu masa depan yang sama. Tidak ada negara di dunia ini yang tidak ada masalah hubungan etnik, cuma persoalannnya adalah bagaimanakah caranya untuk menguruskannya dengan mengambil kira realiti negara tersebut sebagai asas-asas kepada setiap pertimbangan.

















Rujukan

Abdullah Taib.(1984). Integrasi dan Polarisasi Mahasiswa Universiti di Malaysia. Laporan Teknikal, Biro Perundingan dan Penyelidikan. Bangi : Universiti Kebangsaan Malaysia. (tidak diterbitkan)
Ahmad Ali, Warti. (2011) Hubungan Etnik di Malaysia. Kuala Lumpur: Penerbit Freemind Horizons Sdn.Bhd.
Furnivall, John S. (1948). Colonial Policy and Practice: A Comparative Study of Burma and Netherlands India.New York : New York University Press.
Hasnah Hussin.(2009). Artikel Kenegaraan Dan Hubungan Etnik. Universiti Malaysia Pahang.
INTAN [Institut Tadbiran Awam Negara] Malaysia. (1994). Dasar-dasar Pembangunan Malaysia. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka bekerjasama dengan INTAN Malaysia.
Jan-Erik Lane. (2000). The Public Sector: Concept, Models, and Approaches. London: SAGE Publisher, third edition.
Jeyaratnam Sundram. (1989), Race, Class and Uneven Development in Malaysia. United State : University of Microfilms International ,Ann Arbor.
Mohd Sohaimi, Dayu, Budi Anto. (2011). Hubungan Etnik : Kelangsungan Pembinaan Negara Bangsa. Kuala Lumpur: Penerbitan Multimedia Sdn.Bhd.
Mok Soon Sang. (2000). Pendidikan di Malaysia. Kuala Lumpur: Penerbit Fajar Bakti Sdn. Bhd.,edisi ketujuh.
 Prof. Madya Dr. Zainal Abidin Ahmad Mazlan Zulkifly (2006). LANH 1303 Pengajian Malaysia. Kuala Lumpur : Open University Malaysia.
Sanusi Osman (1989),Ikatan Etnik dan Kelas Di Malaysia, Bangi : Universiti Kebangsaan Malaysia.
Robiah Sidin. (1994). Pendidikan di Malaysia: Cabaran untuk Masa Depan. Kuala Lumpur: Penerbit Fajar Bakti Sdn. Bhd.
Shahril @ Charil Marzuki & Habib Mat Som. (1999). Isu Pendidikan di Malaysia: Sorotan dan Cabaran. Kuala Lumpur: Penerbit Fajar Bakti Sdn. Bhd.
Shamsul Amri Baharuddin. (1990). ”Masyarakat Malaysia yang Membangun”. Monograf Tidak Diterbitkan. Bangi, Selangor Darul Ehsan: UKM [Universiti Kebangsaan Malaysia].
Simon Fisher et al. (2000). Mengelola Konflik: Ketrampilan & Strategi untuk Bertindak. Kuala Lumpur: Penerbit Fajar Bakti Sdn. Bhd., Terjemahan.
Sufean Hussin. (2002). Dasar Pembangunan Pendidikan Malaysia: Teori dan Analisis. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.
Wan Abdul Halim Othman. (2008). Asas Hubungan Etnik. Pulau Pinang: Pusat Penyelidikan Dasar USM [Universiti Sains Malaysia].
Wong Khek Seng, Raminah Haji Sabran dan Kok Meng Kee (2002). PENGAJIAN AM KERTAS 1 DAN 2 STPM. Malaysia : Penerbit Fajar Bakti Sdn. Bhd.
Yani Yahaya dan Mary Tan Swee Ee (2004). SPM SEJARAH. Selangor : Sasbadi Sdn. Bhd.

No comments:

Post a Comment