PENGENALAN
Konsep terapi dalam Pendidikan Khas adalah berdasarkan konsep kepelbagaian kategori individu berkeperluan khas. Murid-murid berkeperluan khas mempunyai sama ada ketidakupayaan, kecacatan, halangan atau rintangan untuk mencapai perkembangan dari segi kognitif, emosi, sosial atau psikomotor. Sehubungan itu kaedah terapi dapat membantu muridmurid bermasalah pembelajaran mencapai perkembangan tersebut. Oleh yang demikian, setiap murid Pendidikan Khas yang mempunyai kelemahan, kecacatan, halangan atau rintangan tertentu yang mengganggu mereka menjalani kehidupan seharian atau pembelajaran harus melibatkan diri dalam terapi yang sesuai. Terdapat pelbagai jenis dan bentuk terapi yang boleh membantu mereka dalam setiap kekurangan tersebut. Sebagai contoh, jika murid berkenaan mempunyai masalah dalam pertuturan, dia boleh menjalani terapi pertuturan. Jika dia menghadapi masalah dalam pergerakan motor kasar atau halus (psikomotor), dia boleh didedahkan dengan terapi fisio atau cara kerja. Pelaksanaan kaedah terapi ke atas murid haruslah dilakukan oleh mereka yang berpengalaman dan berpengetahuan seperti doktor atau pakar kesihatan. Walaubagaimanapun, terdapat beberapa terapi yang boleh dijalankan sendiri oleh ibu bapa dan guru seperti terapi muzik, terapi seni, terapi pertuturan dan terapi pergerakan. Namun begitu, untuk menjalankan terapi tersebut, pihak berkenaan haruslah mendapatkan maklumat atau pengetahuan yang sesuai sama ada melalui pembacaan atau rujukan pada pakar.
KEPENTINGAN DAN FAEDAH AKTIVITI TERAPI KEPADA MURID PENDIDIKAN KHAS
Aktiviti terapi amat membantu murid Pendidikan Khas khususnya bermasalah pembelajaran sama ada di dalam proses pembelajaran atau kehidupan seharian mereka. Seperti yang diketahui, murid-murid Pendidikan Khas mempunyai masalah tersendiri sehinggakan ada di antara mereka yang tidak dapat menguruskan diri dengan baik dan mempunyai halangan dalam menjalani kehidupan seharian. Di sini, saya menyenaraikan beberapa kepentingan terapi kepada murid Pendidikan Khas :-
- Membantu untuk meningkatkan keupayaan mental, emosi dan kesihatan. Melalui aktiviti terapi, murid Pendidikan Khas dapat meningkatkan keupayaan mereka dalam mengawal mental dan emosi dengan baik. Sekiranya mereka dapat mengawal mental dan emosi dengan baik, maka kesihatan diri mereka juga dapat dijaga dengan baik. Sebagai contoh, terapi main yang membantu murid dalam mengawal mental dan emosi mereka ketika bermain dengankawan-kawan selain membantu mereka menyihatkan tubuh badan dalam bentuk riadah.
- Membantu perkembangan fizikal dan tubuh badan Murid-murid Pendidikan Khas yang mempunyai masalah dalam psikomotor mereka boleh dipulihkan dengan melakukan terapi yang sesuai. Sebagai contoh, melalui aktiviti terapi hidro yang dapat memberi sokongan ke atas tubuh badan melalui apungan air sedikit sebanyak membantu murid mengawal tubuh badan. Selain itu, terapi fisio juga boleh membantu murid seperti cerebral palsy atau lumpuh untuk menggerakkan psikomotornya untuk menjalankan aktiviti harian atau pembelajaran.
- Merangsang pemikiran dan kreativiti murid Aktiviti terapi juga dapat membantu murid Pendidikan Khas dalam pemikiran dan kognitif mereka. Sebagai contoh, aktiviti terapi seperti terapi seni dan terapi pergerakan dapat merangsang pemikiran dan kreativiti murid dalam mencipta, membina dan membentuk hasil seni atau pergerakan melalui pemikiran mereka. Melalui terapi seni dan terapi pergerakan juga menggalakkan murid untuk menggunakan keupayaan kognitif mereka ke tahap yang maksimum.
- Membantu dan merangsang pertuturan dan komunikasi Terapi pertuturan merupakan salah satu aktiviti yang membantu murid untuk mempunyai masalah dengan alat artikulasi mereka seperti gagap, sengau, sumbing dan sebagainya. Melalui aktiviti terapi pertuturan, mereka dapat melatih dan merangsang alat pertuturan mereka untuk berkomunikasi dengan lebih baik dan membantu mereka menyampaikan maklumat kepada individu lain.
- Mengurangkan tekanan dan gangguan mental serta emosi Murid-murid Pendidikan Khas biasanya menghadapai gangguan atau tekanan mental dan emosi sama ada dari keluarga atau persekitaran mereka. Oleh yang demikian, melalui aktiviti seperti terapi bermain, terapi muzik atau aromatherapy dapat membantu mereka dalam menenangkan perasaan, emosi dan mental. Hal ini kerana terapi-terapi tersebut dalam membuatkan mereka melupakan tekanan atau trauma yang pernah dihadapai dalam kehidupan melalui permainan yang mereka gemari, lagu atau muzik yang perlahan dan bau-bauan yang menenangkan.
- Memperbaiki kualiti hidup dan keyakinan diri. Murid-murid yang mempunyai masalah dalam pengurusan kehidupan seharian boleh dibantu dengan terapi yang sesuai. Sebagai contoh, terapi cara kerja yang melatih murid dalam membuat kerja atau aktiviti yang mendatangkan hasil. Murid juga akan diajar untuk melakukan kerja-kerja yang membantu nya dalam kehidupan seharian seperti memasak, mendobi, menukang, menanm, menjahit, menguruskan diri dan sebagainya. Melalui terapi ini juga mereka dapat meningkatkan keyakinan diri dengan mempercayai keupayaan dan kebolehan diri mereka dalam meningkatkan kualiti hidup mereka dan untuk membantu orang lain.
- Membantu untuk meningkatkan kemahiran bersosial murid. Melalui aktiviti terapi, murid dapat bergaul dan berkomunikasi dengan individu dan masyarakat di sekitar mereka. Sebagai contoh.Terapi main yang melibatkan murid dengan murid lain akan membantu mereka untuk berkomunikasi dan bergaul sesama sendiri. Selain itu, terapi membeli belah juga dapat membantu murid untuk berinteraksi dengan masyarakat dalam proses jual beli.
- Meningkatkan kemahiran pengamatan (pendengaran dan penglihatan) Kanak-kanak berkeperluan khas yang mempunyai masalah dalam pengamatan sama ada pendengaran atau penglihatan boleh dibantu dengan menjalani beberapa terapi tertentu. Sebagai contoh, terapi muzik dapat meningkatkan pengamatan mereka dalam pendengaran dan terapi visual atau penglihatan dapat membantu meningkatkan pengamatan dalam penglihatan.
No comments:
Post a Comment